Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Negeri hulur bantuan mangsa ribut Pandamaran

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam telah meneliti maklum balas daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang mengenai laporan kejadian ribut taufan di Pandamaran, Klang yang berlaku pada 21 Oktober 2014 yang lalu.

Kejadian angin kencang ini telah memusnahkan harta awam dan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Flat PKNS Pandamaran Jaya, Flat Pandamaran Permai Indah dan Kampung Pandamaran Jaya. Jeti Nelayan Pandamaran (Sg. Aur) juga turut mengalami kerosakan.

RibutKerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah bersetuju untuk membaik pulih bumbung di tiga (3) blok kediaman yang mengalami kerosakan teruk dan juga menggantikan tangki-tangki air di Blok A, B, C dan D, Flat Pandamaran Permai Indah. Kos pembaikan untuk kerja-kerja ini melibatkan kos RM600,000.00.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menampung kos kerja-kerja pembaikan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dan dijangka siap pada hari ini, 24 Oktober 2014.

Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberikan sumbangan saguhati untuk membaikpulih kerosakan yang melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000.00.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) untuk membina semula Jeti Nelayan Sungai Aur bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan nelayan di kawasan Pandamaran. Kos dianggarkan berjumlah RM30,000.00.

Majlis Perbandaran Klang telah diberikan sejumlah RM73,000.00 untuk kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan pembersihan pokok-pokok yang tumbang berikutan bencana ribut taufan ini.

MMKN juga telah bersetuju melaksanakan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi dengan bertemakan “ Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014 “ yang bertujuan untuk meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan denggi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pelan Tindakan ini berfokuskan tiga (3) bentuk pendekatan ; kawalan dan tindakan, aktiviti kesedaran dan promosi, serta pemantauan secara berterusan.

YAB. TUAN MOHAMED AZMIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.