Categories
SELANGOR

MB mahu jumpa penduduk bincang Lebuh Raya Kidex

Oleh: AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 10 OKT: Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan bertemu dengan persatuan penduduk termasuk NGO ‘Say No To Kidex’ bagi mendengar pandangan dan bantahan mereka berhubung pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan Mohamed Azmin kini sedang memberikan tumpuan menyiapkan Belanjawan Selangor 2015 yang dibentangkan November ini.

surau iman4Katanya, beliau memaklumkan perkara itu kepada Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian.

Beliau juga telah bertemu Datuk Bandar Petaling Jaya (MBPJ), Datin Paduka Alina Ahmad bagi mendapatkan penerangan mengenai projek ini.

“Saya maklumkan kepada Ranjiv dan Hee Loy Sian supaya kita mengadakan pertemuan terdekat untuk mendengar daripada pertubuhan awam tentang perkara ini.

“Saya mendapat maklum balas daripada Datuk Bandar MBPJ tetapi saya merasakan perlu mendengar pandangan mereka dan rakyat Petaling Jaya,” katanya kepada media.

Beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa enggan membuat keputusan awal berdasarkan pertemuan dengan Datuk Bandar MBPJ.

Kidex sebelum ini mendapat bantahan daripada penduduk terutama di sekitar Petaling Jaya kerana bimbang pembinaan lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu akan memusnahkan alam sekitar selain menyebabkan harga hartanah merudum.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.