Categories
SELANGOR

MB: Peruntukan RM600,000 atasi banjir di Kampung PPRT Desa Kasih

Oleh: AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 24 OKT: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan berjumlah RM600,000 kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam bagi pembangunan penyelesaian masalah banjir di Kampung PPRT Desa Kasih di sini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan segera ini diberikan bagi mengelakkan kejadian banjir ini kembali berulang.

MB di PPRT Desa Kasih, Teluk Pulai (7)“Punca sistem perparitan sedia ada menyumbang kepada kenaikan air.

“Kos penyelenggaraan menyusun semula sistem pengairan berjumlah RM600,000 termasuk kerja mengalirkan air ke kunci air berhampiran dengan jarak 3 kilometer.

“JPS dan Majlis Daerah akan selesaikan kerja cepat. Saya akan akan pantau secara peribadi,” katanya kepada penduduk.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat daripada Jurutera JPS, Herman Tawil mengenai langkah penyelesaian banjir itu.

Berdasarkan ringkasan kerja yang diterangkan, JPS mencadangkan supaya mendalamkan parit utama yang menjadi saluran ke kunci air.

Selain itu, halangan di dalam parit seperti ‘pipe culvert’ akan dibuang dan sebanyak tiga pam bergerak akan disediakan bagi melancarkan aliran air.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM450 kepada 22 buah keluarga yang menjadi mangsa banjir.

Kejadian banjir yang berlaku pada 8 Oktober lalu telah menenggelamkan kampung berkenaan selama empat hari.

Tinjauan Selangor Kini juga mendapati kawasan perparitan yang dikelilingi ladang kelapa sawit masih ditakungi air.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.