Categories
SELANGOR

Masyarakat Islam perlu tolak keganasan, jauhi ISIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan Mufti Selangor menasihati umat Islam untuk teguh berpegang  ajaran Islam  berlandaskan al-Quran dan sunnah serta menolak keras sebarang bentuk keganasan.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islamnya, Azezul Azery Zulazmi berkata, jabatan berkenaan turut mengeluarkan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang diwartakan, pada 31 Julai lalu.

Fatwa berkenaan  menggariskan empat butiran untuk perhatian masyarakat antaranya SIS Forum (Malaysia) dan individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme juga pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

ISIS“Sebarang bahan terbitan yang berunsur pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama perlu diharamkan dan boleh dirampas.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

“Individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama perlu bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” petik fatwa berkenaan.

Fatwa dikeluarkan selaras dengan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor di atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pada 12 Oktober lalu, seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bernama Syamimi Faikah, 20, nekad lari ke Syria kerana mahu berkahwin dengan pejuang kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang dikenalinya melalui Facebook.

ISIS1Baru-baru ini, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menahan seorang wanita berusia 25 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2) selepas dikatakan mahu ke Syria untuk berkahwin dengan militan ISIS.

Sebelum ini, seorang wanita rakyat tempatan yang digelar Dr Sham dikesan berada di Syria dan berkahwin dengan ahli ISIS.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 22 rakyat Malaysia dikesan berada dan terbabit dalam kancah peperangan di negara bergolak itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.