Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah lakukan kunjungan istisyari, minta pandangan mufti

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan kunjungan istisyari (konsultasi) buat kali pertama kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Wan Azizah menerusi satu hantaran dalam laman Facebook berkata kunjungan yang berlangsung di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Putrajaya itu bertujuan untuk mendapatkan beberapa pandangan hukum serta nasihat berhubung beberapa isu mutakhir di bawah portfolionya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan pandangan Islam dalam isu-isu pentadbiran negara dan menyanjung tinggi institusi Mufti dan ulama.

“Semoga siri pertama Kunjungan Istisyari ini akan disusuli dengan kunjungan-kunjungan seterusnya,” katanya, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping memuat naik beberapa keping gambar bersempena kunjungannya itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Masyarakat Islam perlu tolak keganasan, jauhi ISIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 OKT: Jabatan Mufti Selangor menasihati umat Islam untuk teguh berpegang  ajaran Islam  berlandaskan al-Quran dan sunnah serta menolak keras sebarang bentuk keganasan.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islamnya, Azezul Azery Zulazmi berkata, jabatan berkenaan turut mengeluarkan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang diwartakan, pada 31 Julai lalu.

Fatwa berkenaan  menggariskan empat butiran untuk perhatian masyarakat antaranya SIS Forum (Malaysia) dan individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme juga pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

ISIS“Sebarang bahan terbitan yang berunsur pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama perlu diharamkan dan boleh dirampas.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyekat laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

“Individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama perlu bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” petik fatwa berkenaan.

Fatwa dikeluarkan selaras dengan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor di atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Pada 12 Oktober lalu, seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bernama Syamimi Faikah, 20, nekad lari ke Syria kerana mahu berkahwin dengan pejuang kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang dikenalinya melalui Facebook.

ISIS1Baru-baru ini, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menahan seorang wanita berusia 25 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2(KLIA2) selepas dikatakan mahu ke Syria untuk berkahwin dengan militan ISIS.

Sebelum ini, seorang wanita rakyat tempatan yang digelar Dr Sham dikesan berada di Syria dan berkahwin dengan ahli ISIS.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 22 rakyat Malaysia dikesan berada dan terbabit dalam kancah peperangan di negara bergolak itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor lancar koleksi buku doa, khutbah

Oleh : Afeeqa Afeera

KLANG 18 NOV : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan koleksi Khutbah Pilihan, Himpunan Doa Rasmi dan Himpunan Doa Harian terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Koleksi tiga buah buku itu adalah daripada bahan yang diperoleh sejak sepuluh tahun pemerintahan baginda sebagai Sultan Selangor bermula tahun 2001 sehingga 2011.

sultan 02Baginda bertitah, hasrat untuk membukukan bahan khutbah, doa rasmi dan doa harian itu sudah lama tercetus bagi memastikan masyarakat dapat menjadikannya sebagai bahan bacaan dan rujukan.

“Beta berharap buku ini akan dapat menjadi panduan dan mengelakkan orang ramai merujuk atau mendapatkan maklumat kurang tepat daripada sumber lain yang diragui kebenarannya seperti internet, laman sesawang atau blog,” titah Baginda.

Baginda turut menyeru agensi atau jabatan kerajaan lain supaya mengambil langkah sama untuk membuku dan menerbitkan sejarah, objektif, kejayaan, prosedur serta manual kerja supaya dapat dibaca juga dimanfaatkan seluruh lapisan masyarakat sebagai bahan rujukan.

“Beta berkenan supaya seluruh masyarakat di negeri ini membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian, terutama bahan bacaan yang boleh memberikan percambahan minda, menguatkan akidah dan menambah ilmu pengetahuan dan membangunkan pemikiran rakyat,” titah baginda.

Majlis pelancaran buku itu turut dihadiri Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tokoh Pendakwah sifatkan perkembangan Islam Selangor menakjubkan

Tokoh Pendakwah Selangor 2013

SHAH ALAM, 8 OKT: Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Menurut Shah Kirit Kakulal Govindji, keadaan itu didorong oleh kesungguhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak terlibat dalam menyebarkan kefahaman sebenar Islam.

“Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

“Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

“Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini,” ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah,” kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai ‘Fiqh Wanita’ di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.