Categories
SELANGOR

Peniaga trauma gerai musnah sekelip mata

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Peniaga Uptown Seksyen 24, di sini, masih trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku selain tidak menyangka perniagaan mereka musnah sekelip mata dijilat api, awal pagi tadi.

Ada di antara peniaga yang ditemui Selangor Kini redha dengan kejadian yang berlalu dan sudah memulakan perniagaan di Kompleks Muhibbah itu, sejak lapan tahun lalu.

Namun, dengan bantuan pinjaman kewangan maksimum tanpa faedah Skim Miktokredit Miskin Bandar (MIMBAR) berjumlah RM5,000 seorang tanpa sebarang birokrasi serta sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RM500 sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk meneruskan perniagaan.

IMG_4095Hasan Nuruddin, 46, berkata, ketika kejadian beliau kebetulan berada di hadapan kompleks perniagaan dan bergegas ke arah belakang Blok B bagi membantu peniaga lain.

“Kira-kira jam 2.30 pagi ada kedai terbakar, saya berada di hadapan terus berlari ke belakang untuk membantu kawan memadam api.

“Tetapi tidak boleh padam guna alat pemadam api. Bila bomba datang api dah besar. Ketika itu tekanan air kurang, maka menyukarkan tugas bomba,” katanya.

Beliau mengakui kejadian kebakaran yang berlaku terlalu pantas membuatkannya panik, sekali gus memusnahkan empat lot kedai miliknya yang menjalankan perniagaan pakaian wanita dan jam.

Bagi Sharizul Saad, 29, pula beliau hanya sempat menyelamatkan separuh barang perniagaan aksesori perak 925 miliknya sejurus kebakaran itu.

Ketika kejadian berlaku, isterinya sudah pulang ke rumah kira-kira jam 2.00 pagi dan beliau hanya dimaklumkan berkenaan kebakaran itu sekitar jam 3.00 pagi.

“Masa kejadian berlaku isteri saya sudah balik rumah. Kira-kira jam 3.00 pagi dapat panggilan dan mulanya menjangkakan terputus bekalan eletrik.

“Isteri saya sampai pada jam 3.30 pagi dan berjaya selamatkan separuh barangan aksesori perak 925.

_MG_8735“Kita tengok dahulu sebab tidak boleh agak berapa banyak jumlah peruntukan yang dapat,” katanya yang menganggarkan kos kerugian berjumlah RM20,000.

Sementara bagi Mohd Azizi Ismail, 37, faktor angin yang kuat dilihat menjadi punca api marak dengan cepat sehingga mengakibatkan Blok B Kompleks Muhibbah itu hangus dijilat api.

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian lega apabila bomba berjaya mengawal kebaran daripada merebak ke Blok A.

Katanya, ketika kejadian semua peniaga bertungkus lumus menyelamatkan barang perniagaan mereka lalu dilonggokkan di tepi jalan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.