Categories
SELANGOR

Perpustakaan Anggerik Vanilla usaha murni MBSA tingkat budaya membaca

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini giat memperkenalkan perpustakaan pertama yang dikendalikan sepenuhnya yang dikenali sebagai Perpustakaan Anggerik Vanilla, dalam usaha membudayakan amalan membaca di kalangan penduduk.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, perpustakaan yang terletak di Kota Kemuning itu ditubuhkan bagi memberikan kemudahan kepada penduduk khususnya golongan pelajar dan kanak-kanak dalam penyediaan sumber ilmu dan bahan bacaan.

Katanya, kewujudan perpustakaan itu juga bertujuan menyediakan pelbagai aktiviti dan program cuti sekolah yang bermanfaat untuk memenuhi masa lapang mereka.

DSC_1139“Pelbagai buku tempatan dan luar negara juga disediakan sebagai bahan bacaan dan rujukan untuk semua peringkat umur pengunjung perpustakaan ini.

“Di perpustakaan ini, terdapat beberapa kemudahan yang disediakan bagi memberikan keselesaan dan kesenangan kepada pengunjung termasuk sudut komputer, ‘wifi’ dan surau,” katanya dalam satu kenyataan.

Perpustakaan Anggerik Vanilla mula beroperasi sejak 1 April lalu dengan menyediakan pelbagai program cuti sekolah kepada golongan pelajar dan kanak-kanak seperti Program Riang Ria Cuti Sekolah, Lab Interaktif, Aktiviti Kraf Kreatif Kanak-Kanak, program bercerita dan program motivasi diri.

Baru-baru ini, majlis perasmian Perpustakaan Anggerik Vanilla disempurnakan Datuk Bandar, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan yang turut menandatangani plak perpustakaan dan mural ‘Tree of Knowledge’ selain menyampaikan sumbangan peribadi iaitu buku bacaan.

DSC_1172Shahrin berkata, sehingga kini terdapat 1700 buku untuk bacaan dan rujukan pengunjung dan dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Keahlian perpustakaan disediakan dan orang ramai digalakkan menjadi ahli supaya proses peminjaman buku dapat dipermudahkan dan pemakluman berkenaan aktiviti terbaru dapat disampaikan dengan mudah,” katanya.

Untuk kategori dewasa, yuran pendaftaran keahlian dikenakan adalah RM15 dan RM5 akan dikenakan bagi proses pembaharuan setiap tahun.

Bagi kanak-kanak antara tujuh hingga 12 tahun pula, yuran pendaftaran dikenakan RM 5 dan pembaharuan setiap tahun juga dikenakan caj yang sama.

DSC_1182Sementara itu, tiada sebarang bayaran dikenakan bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung Perpustakaan Anggerik Vanilla, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Perpustakaan, Rafida Abdul Rahman di talian 013-3685345 atau Syuhaida (013-3026814) dan kaunter perpustakaan (03-5120 1367).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.