Categories
SELANGOR

Vox Pop: Harga minyak naik, baran pun naik!

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT : Pengumuman mengejut Putrajaya berhubung kenaikan harga bahan bakar sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa malam tadi menimbulkan kemarahan orang ramai di seluruh negara.

Tinjauan Selangor Kini di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam mendapati rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan pusat menaikkan harga petrol dan diesel tatkala rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘mengumpan’ dengan meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2015, namun dilihat tidak memberikan kesan kepada penduduk khususnya di kawasan bandar.

Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerima bantuan berkenaan, dan bagi yang layak hanya diberikan sekali sahaja sedangkan kesan kenaikan terpaksa ditanggung setiap hari.

Wan Noor Azli, 40, yang berkhidmat sebagai juruteknik terpaksa membelanjakan hampir RM200 sebulan untuk berulang alik dari rumahnya di Klang ke tempat kerjanya di Damansara.

“Kita yang kerja di peringkat rendah memang terasa betul (dengan kenaikan petrol) sebab dulu isi minyak penuh RM7 untuk motorsikal tetapi sekarang bertambah sehingga RM9 sehari.

“Tambahan lagi perjalanan saya yang agak jauh memang menyebabkan bajet bulanan itu lari,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian BR1M untuk menampung kos sara hidup rakyat, Azli berkata bantuan itu tidak sesuai kerana tidak semua rakyat dapat menikmatinya.

“Saya sendiri tidak dapat bantuan itu dan kini terpaksa menanggung kenaikan harga petrol, jadi saya rasa ia tidak adil,” katanya lagi.

Beliau turut mengandaikan harga barangan keperluan serta makanan akan turut dinaikkan selepas ini memandangkan peningkatan harga petrol dan diesel memberi kesan kepada pengangkutan.

Mohd Syahmi, 22, pula berpendapat kenaikan harga minyak menjejaskan kewangan beliau sebagai seorang pelajar kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk kegunaan petrol.

Katanya pemberian wang saku oleh ibu bapa juga tidak cukup untuk menampung perbelajaan petrol ditambah dengan tugasan dan kerja luar yang terpaksa dihadapi mereka sebagai pelajar.

“Saya rasa kenaikan ini membebankan terutama di kalangan pelajar kerana banyak duit diperlukan untuk bayar yuran kolej, tugasan dan kerja luar.

“Tiba-tiba kenaikan petrol ini berlaku memang membebankan sebab duit kini banyak diperuntukkan untuk petrol sahaja,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Shamsul Amin, 33 mengesyaki harga minyak akan terus dinaikkan beberapa kali lagi dalam tempoh beberapa tahun.

“Kalau minyak sahaja yang naik tiada masalah tetapi harga makanan dan barang keperluan juga akan turut ikut naik nanti.

“Saya belanja kira-kira RM300 sebulan untuk petrol, memang rasa terbeban sebab harga minyak kalau sudah naik susah untuk turun,” katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan mulai tengah malam tadi ekoran keputusan kerajaan menurunkan subsidi minyak dan diesel sebanyak 20 sen.

Berikutan itu, harga petrol akan naik kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 sekarang dan diesel RM2.20 daripada RM2.

Langkah itu dikatakan selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh selain dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan golongan tidak bertanggungjawab.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel ialah tahun lepas iaitu sebanyak 20 sen mulai 3 September 2013.

 HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.