Categories
SELANGOR

32 asnaf terima bantuan baik pulih RM640,000

Oleh: LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 22 NOV: Seramai 32 asnaf sekitar Selangor bertuah apabila menerima bantuan baik pulih rumah anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kos keseluruhan RM640,000.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, inisiatif itu membuktikan anak syarikat Kerajaan Negeri itu tidak pernah meminggirkan kerja tanggungjawab sosialnya.

Katanya, usaha PKNS itu juga mencerminkan prinsip Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kawasan pembangunan tetapi juga kehidupan luar bandar.

“Ada orang cakap PKNS jual rumah harga berjuta-juta tetapi jangan kita lupa bahawa PKNS perlu membuat keuntungan.

“Keuntungan seperti itu yang akan dipulangkan kembali kepada rakyat dalam program seperti pagi ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Baik Pulih Rumah Asnaf di tapak rumah salah seorang penerima bantuan di Taliair 2, Ban 1 Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Pengurus Besar PKNS, Azlan Alifiah dan Pengurus Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong, Misran Serman.

Melaluii program di bawah Kasih PKNS ini, setiap unit rumah diberikan kos siling RM20,000 dan bergantung kepada jenis pembaikan yang akan dilakukan.

Kerja baik pulih sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Selain Sungai Burong, empat kawasan lain yang menerima bantuan adalah di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Sungai Panjang dan Jeram.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.