Categories
SELANGOR

PKNS penuhi impian warga emas, salur RM20,000 baiki rumah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 22 NOV: Impian seorang warga emas, Jamiah Mohd Salleh, 72, untuk memiliki kediaman yang lebih baik bakal terlaksana dalam masa terdekat.

Dengan sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui program Kasih PKNS, terataknya yang sebelum ini daif mula bertukar wajah.

Beliau yang kelihatan uzur kini tidak berupaya bertutur dengan jelas, namun masih sempat meluahkan rasa gembiranya.

“Suka dan senang hati dengan bantuan ini, alhamdulillah,” ucapnya.

Jamiah pernah berkahwin, namun tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan beliau tiada tempat bergantung selepas kematian suami.

Beliau adalah salah seorang daripada 32 asnaf yang terpilih dalam program baik pulih rumah anjuran PKNS kali ini.

Rumahnya yang terletak di Taliair 2, Ban 1, di sini, kini sedang dalam proses baik pulih membabitkan kos RM20,000 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Mengulas bantuan berkenaan, cucu saudaranya, Mohd Sallehudin Abdul Latif, 34, mengucapkan setinggi penghargaan atas inisiatif PKNS itu.

“Memang banyak beza kalau dilihat keadaan rumah yang sebelum ini dengan yang anda lihat hari ini.

“Tiada apa yang dapat dikatakan, selain ucapan jutaan terima kasih kepada PKNS yang prihatin,” katanya yang bertanggungjawab menjaga dan menanggung Jamiah.

Terdahulu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad sempat meninjau keadaan rumah yang masih dalam proses baik pulih itu.

Beliau turut disertai Pengurus Besar PKNS, Azlan Alifiah dan Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong, Misran Serman.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.