Categories
KENYATAAN MEDIA

351 Bible dikembalikan kepada PBM

Kesemua 351 Bible yang mengandungi perkataan ‘Allah’ yang telah dirampas awal tahun ini telah dipulangkan kepada Pesatuan Gereja – gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Most Reved Archbishop Datuk Bolly Lapok kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pagi ini.

Archbishop Datuk Bolly Lapok ditemani oleh Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr. Herman Shastri.

IMG-20141114-WA0029Acara itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pertamanya, saya mahu mengucapkan penghargaan tertinggi dan kesyukuran kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas pandangan jauh dan insiatif Baginda dalam mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama.

Semua pihak yang terlibat, terutamanya MAIS dan ACS telahpun mencapai satu penyelesaian yang baik dalam isu Bible ini menerusi usaha ikhlas dan keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

Saya turut ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohammad Adzib Mohd Isa dan Most Revd Archbishop Datuk Bolly Lapok kerana melakukan yang terbaik demi memastikan hal ini diselesaikan dengan cara paling baik sekali.

Seperti yang saya katakan beberapa kali sejak memegang jawatan Dato’ Menteri Besar, pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.

Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya telah berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka. Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia telah menjadi realiti.

Dalam majlis bertuah ini, ingin saya memetik ayat Al – Quran

“Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu satu masyarakat yang adil dan kamu bahawa kamu akan menjadi saksi atas manusia dan Rasul menjadi saksi ke atas kamu.” (Al-Baqarah: 143)
Ulama terkenal Sheikh Dr Yusuf al Qardhawi dalam menafsir ayat di atas menyatakan

“Umat Islam adalah sebuah negara yang adil dan sederhana; ia menjadi saksi kepada setiap penyimpangan dari jalan yang lurus di dunia dan di akhirat. ”

Oleh itu, harus ditekankan bahawa apa yang kita saksikan dalam penyerahan Bible pagi ini lebih acara adalah pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan yang dimaksudkan dalam al-Quran secara realiti.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri ini.

Walau bagaimanapun, seperti kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Negeri Selangor.

Islam adalah rahmatan lil alamin – rahmat untuk semua manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarkan ajaran Islam dan mempamerkan Negeri Selangor sebagai teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan.

Mohamed Azmin Ali
Dato’ Menteri Besar Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.