Categories
NASIONAL

Anwar: Umno terus gagal martabat hak dan kepentingan Melayu

SHAH ALAM 29 NOV: Pimpinan pentadbiran Umno gagal memartabatkan hak dan kepentingan Melayu di negara ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jurang ekonomi bangsa Melayu juga semakin terhakis dan akhirnya menggugat kedudukan ekonomi mereka untuk berdaya saing dengan bangsa-bangsa lain.

UMNO BN 55“Dalam kajian Prof Fatimah Kari di UM, kesenjangan ekonomi di negara ini berlaku antara golongan maha kaya dan golongan rakyat termiskin melibatkan Umno, kroni Umno dan rakyat biasa.

“Dasar Ekonomi Baru dan dasar sedia ada sekarang ini memperkayakan golongan kecil Melayu sahaja sementara yang lainnya melarat dengan tanggungan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Inilah yang menjadi isu di Malaysia apabila wujud kesenjangan pendapatan golongan kaya dan miskin melebar. Golongan kaya inilah melibatkan Umno dan kroni sementara yang miskin itu siapa kalau bukan rakyat sendiri,” kata Anwar dipetik Keadilan Daily.

Anwar berkata demikian pada Ceramah Perdana Rakyat Hakim Negara di Puchong Perdana, malam tadi.

Katanya Umno kini mengamalkan tatakelola pentadbiran yang hanya menguntungkan kroni sebaliknya rakyat menjadi mangsa kerakusan pentadbiran kerajaan.

“Lihat sahajalah sekarang, sistem percukaian yang lebih mesra golongan maha kaya untuk kekal kaya manakala golongan bawahan dipaksa menanggung bebanan berterusan.

“Kononnya nak bela nasib orang Melayu. Nak bela apa kalau kenyangkan kroni sendiri. Adakah ini yang dikatakan Umno bela nasib Melayu?,” soalnya.

Sambungnya, beliau turut bimbang dengan nasib bangsa Melayu yang ditekan pemimpin Melayu sendiri berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup, kadar kenaikan kos pengangkutan, pemansuhan subsidi dan lain-lain.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.