Categories
SELANGOR

Belia Tani tarik minat belia, pacu pembangunan negeri

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 16 NOV: Program Belia Tani antara usaha kolektif Kerajaan Negeri menarik anak muda tempatan terbabit secara serius dalam sektor pertanian selain meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan seterusnya memacu pembangunan negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, program yang dalam proses perancangan itu dirangka rapi dalam memastikan setiap pesertanya memperoleh pendapatan lumayan.

“Sudah tiba masanya, kita ubah persepsi lapuk masyarakat yang berpandangan sektor pertanian ini hanya untuk golongan berusia.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (13)“Belia Tani bukan sahaja mengisi peranan anak muda dalam sektor ini, bahkan kita harapkan menjadi sumber pendapatan yang baik selain bekerja di sektor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini selepas merasmikan Program Jelajah Tani di DUN Tanjung Sepat di Padang Sungai Kelambu, di sini, hari ini.

Hadir sama ADUN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor, Mohamad Idrus Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa tapak pertanian untuk diusahakan belia dalam program itu.

“Antara tapak yang dikenalpasti setakat ini adalah Selangor Fruits Valley, yang mana di situ masih terdapat tanah untuk diusahakan. Belia yang berminat akan ditawarkan tapak seluas dua hektar untuk diusahakan.

YB Zaidy turun padang ke TG. Sepat Program Pertanian (15)“Buat masa ini, belia yang berminat boleh merujuk terus ke pejabat saya dengan membawa kertas kerja untuk dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Zaidy dibawa melawat ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Kelambu bagi melihat projek pertanian nenas, sayuran dan tanaman kontan umbisi.

Beliau turut berkesempatan merasmikan kebun durian belanda yang diusahakan penduduk Kampung Sungai Lang Baru.

Untuk rekod, Jelajah Tani akan diadakan di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di Tanjung Sepat dan berakhir di DUN Jeram, pada 14 Disember ini.

Program berteraskan pembangunan sektor pertanian itu bertujuan untuk mempromosikan program Selangor Agrofest 2014 yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Disember ini di Stadium Sungai Besar.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.