Categories
SELANGOR

Bumbung 6 masjid Selangor rosak teruk, JKR beri alasan kurang kakitangan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melaporkan bumbung adalah antara bentuk kerosakan tertinggi yang ditemui pada beberapa masjid di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Dalam laporan Ketua Audit Negara Siri Ke-3 mendapati JAIS hanya melaksanakan penyelenggaraan berbentuk pembaikan, namun tidak melaksanakan program pencegahan dan pengesanan kerosakan kecuali untuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hal itu kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pihak bertanggungjawab membuat pemeriksaan tahunan untuk mengesan kerosakan gagal berbuat demikian disebabkan kekurangan kakitangan.

bumbung1Kesan daripada ketiadaan program itu menyebabkan terdapat beberapa masjid yang tidak diselenggara dalam tempoh tiga tahun terakhir mengalami kerosakan berterusan dan mengakibatkan skop sdan kos pembaikan akan datang menjadi lebih besar.

“Semakan lanjut terhadap senarai kerja penyelenggaraan baik pulih yang dilaksanakan JAIS dari tahun 2011 hingga bulan Mac 2014 mendapati pembaikan bumbung paling kerap dibuat.

“112 kerja pembaikan bumbung atau 45.2 peratus daripada 248 kerja sudah dilaksanakan, diikuti dengan kerja berkaitan perpaipan serta naik taraf tandas 83 kerja (33.5 peratus).

“Mengikut maklum balas JAIS bertarikh 24 Julai lalu, struktur kerangka bumbung masjid ditukar daripada kerangka kayu kepada keluli tahan lasak sebagai langkah mengurangkan risiko kerosakan bumbung.

“Selain itu, reka bentuk baru masjid juga tidak menggunakan binaan bumbung rata konkrit kerana sering mengalami masalah kebocoran,” katanya.

bumbungEnam buah masjid yang berhadapan masalah bumbung adalah Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan dan Masjid Nurul Iman, Batu 13, di Petaling, manakala Masjid Al Redha dan Masjid Jameatus Solehah di Sepang serta Masjid Jamiatul Solihah dan Masjid Kampung Klang Gate Baru di Gombak.

Selain itu, penemuan audit mendapati terdapat kerja penyelenggaraan baik pulih yang dilaksanakan di tiga buah masjid tidak mengikut spesifikasi hingga tidak tahan lama dan memerlukan pembaikan semula.

“Pengurusan maklumat aset bagi 418 buah masjid kelolaan JAIS dibuat secara manual menyebabkan carian maklumat sukar dibuat serta statistik berkenaan kos, kekerapan, sejarah penyenggaraan, usia masjid dan pengurusan aduan sukar dicari serta laporannya tidak dapat disediakan dengan cepat,” katanya.

Dari segi audit prestasi penggunaan peruntukan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Jun lalu terhadap pengurusan penyelenggaraan masjid oleh JAIS bagi tahun 2011 hingga bulan Mac lalu mendapati pengurusan penyelenggaraan baik pulih dalam kedudukan baik iaitu pada kadar 82.4 peratus untuk tahun 2011 hingga 2013.

Sehingga Mac lalu, JAIS mempunyai 418 masjid sementara kerja baik pulih yang sudah diluluskan untuk dilaksanakan JKR berjumlah RM4.52 juta.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.