Categories
SELANGOR

DAP ucap tahniah MB selesai isu Bible, permulaan baik amal kesederhanaan

SHAH ALAM, 14 NOV: DAP mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang berjaya menyelesaikan isu pengambilan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang berlanjutan hampir setahun.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berharap ia akan menjadi titik permulaan ke arah Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kesederhanaan.

IMG-20141114-WA0029“Tahniah kepada Azmin kerana berjaya menyelesaikan kemelut ini.

“Berita ini, serta tibanya negara kita sebagai Pengerusi Asean pada tahun hadapan adalah perkembangan yang amat dialu-alukan dan seharusnya dijadikan titik mula kepada Malaysia yang sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu majlis sempena kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) Rev. Archbishop Datuk Bolly Lapok di Istana Shah Alam pagi tadi, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulangkan kembali 351 naskah kitab itu kepada ACS.

Dalam pada itu, tokoh veteran DAP itu menegaskan kembali seruan menamatkan ketegangan kaum dan agama yang telah menyekat pembangunan negara selama ini.

“Ada keperluan mendesak untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan politik, mengelakkan perkauman sempit yang bertentangan dengan prinsip Malaysia.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah pro-aktif untuk menghentikan polarisasi kaum dan agama yang telah menimbulkan perpecahan dan perbalahan di negara kita ini,” kata Kit Siang lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.