Categories
SELANGOR

Defisit RM450 juta tapi MB jamin tiada belanjawan tambahan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar , Mohamed Azmin Ali memberi jaminan beliau tidak akan membentangkan belanjawan tambahan memandangkan Belanjawan 2015 Selangor yang dibentang hari ini meliputi jumlah keseluruhan perbelanjaan pentadbiran sepanjang tahun.

Mohamed Azmin berkata, hal itu bertentangan dengan amalan sebelum ini yang memperuntukkan sebahagian sahaja ketika membentangkan belanjawan tahunan dan kemudiannya memohon peruntukan tambahan selepas beberapa bulan berikutnya.

“Saya rasa amalan ini tidak begitu sihat. Gaji kakitangan contohnya, kita sepatutnya sudah tahu jumlah yang diperlukan dalam masa satu tahun itu.

Bajet MS1Jadi, kenapa tidak bentangkan jumlah keseluruhannya,” kata Mohamed Azmin dalam sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2015 Selangor yang bertemakan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, belanjawan tahunan perlu dibentangkan dengan ikhlas, telus dan berani memberikan angka sebenar tanpa berselindung dengan belanjawan tambahan kemudiannya.

Mohamed Azmin hari ini membentangkan belanjawan keseluruhan RM4.392 bilion dengan jumlah perbelanjaan RM2.422 bilion dan unjuran pendapatan sejumlah RM1.97 bilion.

Bagi unjuran pendapatan bagi 2015, Kerajaan Negeri memperuntukan RM1,288,530,000 atau 53.19 peratus untuk mengurus dan RM1,133,970,000 atau 46.81 peratus perbelanjaan pembangunan.

Mohamed Azmin berkata, perbelanjaan mengurus pada 2015 dikurangkan, manakala bagi perbelanjaan pembangunan pula ditambah bagi meningkatkan aktiviti ekonomi negeri itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.