Categories
BERITA UTAMA

Jika isu Denggi hanya dibawa Noh Omar, 10 penggal lagi PR goyang kaki di Selangor

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar yang dikecam teruk oleh Perdana Menteri, Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad ekoran kegagalan menunjukkan prestasi dan kesungguhan yang meyakinkan untuk menawan semula negeri itu, tiba-tiba tampil dengan isu baru untuk menyerang kerajaan negeri pimpinan PR.

Barangkali tindakan segera bangkit dengan isu baru ini ialah kerana turut rasa malu berikutan gagal mengambil kesempatan dan mengeksploitasi isu pertukaran Menteri Besar Selangor sehingga Najib dan Mahathir telah menegurnya secara terbuka.

noh-omarIsu yang dibangkitkannya oleh Noh untuk mentaktif kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali sebagai gagal dan perlu ditukar ialah kerana meningkatnya kes denggi di negeri Selangor sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, PR bertanggungjawab terhadap kematian mangsa denggi kerana membiarkan perbalahan dalaman berlaku ketika wabak itu menyerang.

Tambahnya, ketika mereka bergaduh mencari menteri besar yang baru, kes denggi di Selangor meningkat hampir 100 peratus dengan kematian menjangkau kepada angka 32 orang.

Mereka tidak peduli pada rakyat, sementara BN pula tidak sedia melihat rakyat menderita ekoran penyakit itu, tegasnya lagi.

Kah, kah, kah…melihat isu baru yang dibangkitkan Noh Omar ini, jelas sekali menunjukkan beliau masih tidak faham mengenai isu yang patut diketengahkan untuk menawan semula negeri itu.

Isu denggi, walaupun ada kesannya kepada masyarakat, tetapi ia bukan tanggungjawab kerajaan negeri sepenuhnya.

DENGGI GRAFIKSelain soal kesihatan merupakan tanggungjawab kerajaan pusat, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri hanyalah memastikan kebersihan persekitaran untuk mengelakkan nyamuk aedes membiak.

Meskipun demikian, tugas kerajaan negeri juga terhad. Dalam banyak kes, denggi juga merebak kerana kecuaian penduduk sendiri mengenai kebersihan dengan membiarkan air bertakung dalam bekas pasu, tayar buruk, tin dan sebagainya.

Selain melakukan semburan membunuh nyamuk melalui pihak berkuasa tempatan atau PBT, kerajaan negeri hanyalah boleh mengadakan kempen kesedaran di kalangan rakyat, namun yang jauh lebih penting ialah kepekaan penduduk sendiri terhadap penyakit itu.

Denggi bukanlah penyakit yang boleh didatangkan secara sengaja atau dihalang oleh mana-mana kerajaan negeri.

Ia bukan juga penyakit yang datang disebabkan kelemahan parti atau perangai pemimpin. Pertukaran kerajaan negeri itu juga belum tentu menjamin denggi akan terhapus sepenuhnya.

Menjadikan isu denggi untuk menyalahkan kerajaan negeri dan sebagai senjata untuk menawan semula Selangor, bukan saja merupakan sasaran yang salah, malah hanya membuatkan ketawa orangramai tambah berdekah-dekah apabila mendengarnya.

Lagi pula, jika kerajaan negeri yang cuba disalahkan dalam isu denggi, apa pula usaha UMNO dan BN Selangor untuk menanganinya selain bercakap dan menyalahkan orang lain? Tidakkah Noh Omar adalah Pengerusi Eksekutif Majlis Tindakan Negeri Selangor yang dilantik oleh Najib?

Noh Omar sepatutnya juga sedar, tiada mana-mana kerajaan di dunia ini yang pernah tumbang kerana isu denggi.

Kalau sekadar isu denggi yang mampu dibangkitkannya, memang patutnya Najib berasa letih dan malu dengannya manakala Mahathir pula mencadangkan kepimpinan yang ada dibubarkan terus.

Pengundi Selangor majoritinya adalah pengundi bandar dan separa bandar, bahkan sebahagian besar kawasan Dewan Undangan Negerinya juga dikuasai oleh kelompok pengundi yang terdedah kepada maklumat internet.

Makanan mereka ialah berkaitan isu rasuah, pembaziran, penyelewengan, kekayaan pemimpin, urus tadbir yang telus dan yang seumpama dengannya.

Selebihnya ialah bagaimana mengurus persepsi dan menguasi pengundi muda melalui media baru serta pendekatan yang selari dengan selera mereka.

Isu pembangunan pun tidak laku walau satu sen kepada kelompok ini, apatah lagi berkaitan denggi dan cuba menyalahkan kerajaan negeri berkaitan dengannya.

Ia hanya menyerlahkan lagi kemampuan sebenar Noh sebagai pemimpin dan semakin menepati hakikat perlunya berundur dengan segera.

Ini kerana, dengan tahap kemampuan hanya berupaya menjadikan isu denggi untuk menyalahkan kerajaan negeri, bukan saja masih jauh dari harapan untuk menang PRU 14 nanti, bahkan akan membuatkan PR di Selangor “goyang kaki” sekurang-kurangnya selama 10 penggal lagi.

Dipetik: shahbudindotcom.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.