Categories
SELANGOR

MB: Kemudahan pendidikan OKU dibangunkan bantu rakyat

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri akan membangunkan kemudahan pendidikan pra-sekolah kanak-kanak kelainan upaya (OKU) bagi memastikan golongan itu menikmati pendidikan awal seperti kanak-kanak lain.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan nasib anak-anak OKU itu kerana mereka tidak mendapat tempat dalam pendidikan arus perdana.

MB hadiri Makan malam di Glenmarie golf and country club (3)“Akhirnya, mereka ini terpaksa ke swasta dan sudah tentulah keluarga tidak mampu menampung kos yang sangat tinggi.

“Jadi, Kerajaan Negeri telah bersetuju menyiapkan kemudahan asas tetapi dari segi latihan perguruan, kurikulum dan perkara berkaitan perlu mendapat dokongan swasta,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Pertandingan Golf Persahabatan anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mahu keterlibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bersama-sama membangunkan sektor pendidikan di Selangor.

Katanya selain bertanggungjawab membantu meningkatkan sumber pendapatan, badan itu juga sewajarnya mengambil peranan mendokong sistem pendidikan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Situasi di negara maju, universiti tersohor seperti Oxford, Stanford dan Harvard didokong oleh pihak swasta bagi meneruskan program pendidikan mereka.

“Tetapi di Selangor, universiti yang kita miliki (Kuis dan Unisel) sebahagian besar dari modal itu masih disumbangkan Kerajaan Negeri.

“Diharap PNSB dan GLC lain dapat melihat peranan ini dengan menyumbang keuntungan yang diraih menerusi CSR supaya universiti kita dapat berkembang maju,” katanya.

Gesaan itu dibuat sejajar dengan Belanjawan Selangor 2015 yang akan menumpukan prospek pembangunan perumahan dan pendidikan rakyat.

Sementara itu, Pertandingan Golf Persahabatan yang dianjurkan PNSB buat kali kelima itu melibatkan Pejabat-pejabat Daerah di Selangor dan sektor swasta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.