Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri hormati keputusan MAIS haramkan SIS

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 3 NOV: Kerajaan Negeri menghormati keputusan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengharamkan badan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) dan berharap kontroversi itu dirungkai sebaiknya melalui pertemuan dua pihak terbabit.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pertemuan itu akan membuka ruang yang lebih luas untuk pihak terbabit mendengar penjelasan masing-masing.

“Saya sudah menghubungi Datuk Mufti untuk dapatkan penjelasan dan mencadangkan supaya diadakan satu perbincangan dengan SIS.

Forum bersama Anwar di One World (9)“Perkara ini tidak akan selesai melalui media, saya sebagai Menteri Besar akan mengambil tanggungjawab ini supaya dua pihak duduk berbincang.

“Kita perlu wujudkan suasana ini untuk cari penyelesaian dan bukan dengan cara paksaan atau tekanan. Itu tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Persidangan Dunia Demokrat Islam di Hotel One World, Bandar Utama, di sini, semalam.

Pada 31 Oktober lalu, SIS memfailkan semakan kehakiman ke atas fatwa MAIS yang mengharamkan kumpulan wanita Islam terbabit selepas menyedarinya melalui carian di laman e-fatwa MAIS, pada 20 Oktober lalu.

Fatwa itu digazetkan di Selangor pada 31 Julai lalu tanpa mendapat perhatian umum.

Semalam, SIS dalam satu sidang media menegaskan mereka berhak mencabar fatwa yang diputuskan MAIS terhadap mereka.

Pengurus Program SIS, Suri Kempe berkata, NGO itu boleh mengambil tindakan undang-undang kerana asas kebebasan mereka disekat.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, tindakan SIS mengemukakan semakan perundangan perlu dihormati dan terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Forum bersama Anwar di One World (7)Sementara itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya pada majlis sama turut mempertahankan pendirian Mohamed Azmin dan berkata Kerajaan Selangor terpaksa menghormati kerana keputusan berhubung fatwa itu sudah dibuat.

“Pandangan saya, Kerajaan Selangor sudah pasti terpaksa menghormati keputusan fatwa, tetapi itu tidak bermakna dia (Mohamed Azmin) tidak boleh memberi pandangan untuk diadakan perbincangan dengan SIS.

“Sebab itu, kita minta pertimbangan MAIS untuk memberi ruang mengadakan perbincangan dan forum berhubung perkara ini. Pada saya, wajar wacana berhubung perkara itu dikembangkan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.