Categories
NASIONAL

Penjara tempat menghukum pesalah, bukan musuh politik

 Oleh AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 3 NOV: Membebaskan musuh politik dari penjara dan institusi media merupakan antara agenda awal Bacharuddin Jusuf Habibie selepas diangkat menjadi Presiden Indonesia ke-3.

Bacharuddin, yang lebih mesra dikenali sebagai BJ Habibie, menggantikan autokrat Soeharto pada 1998 seraya membuka laluan kepada usaha menyemai demokrasi yang subur di negara ke-15 terbesar di dunia itu.

Menurut Pengerusi The Habibie Center, Dr Ahmad Watik Pratiknya, penjara hanya tempat untuk menghukum pesalah dan bukannya musuh politik.

Malah tiada sekatan terhadap media juga sebaliknya rakyat bebas membuat demonstrasi asalkan tidak berlakunya sebarang jenayah.

“Pada dasarnya dalam kehidupan mempunyai hak dan kewajipan yang sama.

“Terdapat perbezaan pandangan atau strategi politik adalah sebahagian daripada dialog yang perlu dikembangkan tanpa perlu menekan secara fizikal mahupun minda dengan menyekat media,” katanya.

Dalam pembentangan di World Forum For Muslim Democrats mengenai Peralihan Demokrasi Berdasarkan Pengalaman Indonesia beliau menjelaskan, sebarang bentuk penerbitan media kini tidak lagi perlu memohon lesen sejak tahun 1998.

Bagi Habibie, keperluan sebenar rakyat didahulukan dan cuba dipenuhi sebaiknya. Isu seperti integriti media contohnya, beliau percaya rakyat Indonesia mampu menghakimi kualiti paparan agensi media.

Beliau memfokuskan penyelesaian masalah negara tanpa mengabaikan soal keagamaan dan susun letak Indonesia sebagai negara penting di pentas dunia.

Tugas dan tanggungjawab tentera dan polis di susun semula supaya lebih jelas dan tidak mengganggu satu sama lain.

Bahkan, dibawah Habibie juga, 48 parti politik baru bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1999 membawa aspirasi 252 juta rakyatnya yang tersebar di 33 wilayah.