Categories
SELANGOR

MB: Selangor tolak paradigma lama ‘Secrecy is Security’

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 NOV: Semua anggota perkhidmatan awam dan kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri dituntut membudayakan nilai integriti, kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu penting dalam menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin melihat setiap penjawat awamnya memiliki jati diri merangkumi sikap amanah, keterbukaan dan ketelusan.

“Masyarakat yang demokratik menuntut sebuah pentadbiran yang bijak dan efektif. Oleh itu, pentadbiran kerajaan yang bijak dan efektif memerlukan muafakat kepimpinan.

PKNS tandatangan Ikrar Integriti di SACC MB (7)“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menolak pemikiran paradigma lama iaitu ‘Secrecy is Security’. Sebaliknya, Kerajaan Negeri akan menjunjung pentadbiran dan pengurusan berteraskan ‘Transparency is Security’,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di SACC Convention Centre, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ‘kerahsiaan’ dalam pentadbiran bukan lagi boleh dianggap sebagai ‘keistimewaan’ (Privilege) Kerajaan kerana ia banyak memberi keresahan dan menimbulkan prasangka di dalam masyarakat.

PKNS tandatangan Ikrar Integriti di SACC MB (5)“Kerahsiaan akan hanya membenihkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam sesuatu pengurusan. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa, semua perjanjian syarikat konsesi yang membabitkan kepentingan rakyat umum perlu difahami oleh ‘stakeholders’ sebelum ia dimeterai.

“Saya percaya integriti bermula dari diri kita sendiri. Jika kita sentiasa mendukung prinsip ini, kita tidak akan berhadapan masalah kemudian hari,” katanya.

Untuk rekod, Dewan Negeri Selangor (DNS) sudah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat 2011 dan mula dikuat kuasa 5 Mac 2013 demi kepentingan masyarakat awam.

Melalui enakmen itu, rakyat boleh mengetahui secara mendalam ketelusan minit mesyuarat jawatankuasa meluluskan projek dan maklumat status sesuatu projek

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu sudah mengarahkan Jawatankuasa Kira–kira Wang Awam Negara atau PAC bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor untuk memantau teguran Ketua Audit Negara ke atas semua Jabatan dan Agensi Negeri.

“Usaha itu diambil bagi memastikan setiap satu mengamalkan tatakelola yang berhemah dan berintegriti dalam mengendalikan urusan kewangan dan proses tender,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.