Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pertahan integriti ketika bertugas, MB nasihat penjawat awam

SHAH ALAM, 24 JAN: Penjawat awam negeri ini diseru mempertahankan integriti dan bersikap profesional ketika menjalankan tugas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan mereka juga perlu menerapkan budaya kerja fleksibel dan tahan uji dalam setiap situasi bermula dari peringkat atasan hingga bawahan.

“Kadangkala kita berada dalam keadaan tekanan dan terdesak, (namun) momentum harus dikekalkan serta bersedia untuk (kerja) fleksibel dan tahan uji.

“Ini ciri baru yang harus ditekankan di samping mempertahankan integriti dan profesional serta bagaimana untuk melayan rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata meskipun negara berdepan tempoh sukar sepanjang pandemik, namun kutipan hasil di Selangor melebihi sasaran selama dua tahun berturut-turut.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD), ekonomi serta perniagaan tidak berjalan selain pelaburan sukar mendarat. Tetapi, kita mampu capai pungutan hasil melebihi sasaran.

“Jadi, untuk 2022 kita perlu hadapi dengan baik untuk melahirkan sesuatu yang lebih baik dalam diri kita,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hakim perlu bebas buat keputusan secara adil, saksama

PUTRAJAYA, 2 APRIL: Setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sebaliknya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan yang tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.

Justeru, katanya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard yang tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan melayan mereka secara adil.

“Jika anda mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang dipertikaikan atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau kepentingan dalam hasilnya, anda harus menarik diri daripada menentukan perkara itu, “ katanya ketika berucap merasmikan Program Induksi Pesuruhjaya Kehakiman (JC), di sini, Isnin lalu.

Teks ucapannya dikeluarkan kepada media semalam.

Tengku Maimun menyampaikan surat pelantikan jawatan kepada sembilan JC dan turut menyaksikan lima Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata hakim mempunyai hak untuk menyoal saksi bagi mendapatkan penjelasan semasa memberi keterangan tetapi tidak boleh melakukan pemeriksaan utama atau pemeriksaan balas dan menyoal saksi sehingga keterlaluan.

Beliau turut menegaskan dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim tidak mempunyai keistimewaan untuk memilih kes dan oleh itu terikat mendengar kes yang menarik perhatian awam atau kes membabitkan tokoh masyarakat.

“Walaupun Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bertanggungjawab dalam hal-hal dasar dan memastikan hakim mematuhi dasar sedemikian, kami tidak dalam apa jua keadaan pun mengarah atau menentukan keputusan anda,“ katanya.

Menurutnya, para hakim mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memutuskan kes mengikut undang-undang dan fakta serta bertanggungjawab mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata nilai integriti bukan sahaja kemampuan menolak rasuah tetapi juga menghormati sepenuhnya nilai-nilai teras kebebasan, tidak berat sebelah, integriti peribadi, kesopanan, kesaksamaan, kecekapan dan ketekunan.

“Anda tidak perlu bimbang dengan apa yang orang lain boleh katakan tentang keputusan anda sama ada pihak eksekutif, cawangan perundangan, masyarakat umum bahkan rakan anda sendiri. Anda biasa dengar hakim dilabel sebagai konservatif atau hakim liberal.

“Tetapi hanya satu label yang saya pentingkan iaitu hakim tidak berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan hakim menulis alasan penghakiman yang akan meningkatkan penelitian dalam hujahan dan analisis keterangan yang membolehkan Mahkamah Rayuan memahami keputusan mahkamah rendah dengan jelas.

“Ia juga memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam sistem kehakiman,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu integriti cabaran besar polis kembalikan kepercayaan masyarakat

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Tanggal 25 Mac 2021, usia Polis Diraja Malaysia (PDRM) genap 214 tahun dan sepanjang tempoh itu pelbagai cabaran dihadapi pasukan keselamatan negara – daripada menangani ancaman komunis hinggalah jenayah kolar putih serta jenayah siber pada masa kini.

Walau apa pun, matlamatnya tetap satu iaitu mengekalkan ketenteraman awam, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara.

Sepanjang tempoh itu, PDRM dipimpin 12 ketua polis negara dan setiap satu mempunyai cabaran masing-masing.

Jika kepimpinan terdahulu lebih tertumpu dalam mengurangkan indeks jenayah, menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam, tetapi dalam alam siber atau era digital kini cabaran paling besar ialah mewujudkan semula kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu.

Malah, perubahan yang berlaku membuatkan pasukan keselamatan itu sentiasa perlu melengkapkan kepakaran dalam pelbagai aspek kerana setiap perkara – sama ada baik atau buruk – dalam sekelip mata setiap kejadian boleh menjadi ‘viral’ atau tular.

“Misi pertama saya adalah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai kepada PDRM, memperbaiki imej PDRM, satu tugasan yang amat berat tetapi saya yakin… itulah yang akan saya tumpukan untuk mengembalikan imej PDRM.

“Yang penting sekali, untuk mengembalikan imej (PDRM),” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam wawancara pertama beliau bersama Bernama selepas menjawat jawatan nombor satu dalam pasukan itu.

Malah, perkara itu sering dilontar dalam kebanyakan temu bual kepimpinan PDRM itu bersama media sejak beliau memegang jawatan itu dua tahun lepas.

Beliau turut mengakui tidak malu untuk membuka pekung berhubung masalah dalam pasukan itu demi membersihkan Sang Saka Biru daripada elemen-elemen rasuah dan salah laku.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Datuk Zamri Yahya pernah mendedahkan terdapat segelintir pegawai kanan PDRM hidup mewah ala orang kaya dengan menerima hasil suapan ribuan ringgit antaranya membiarkan kegiatan sindiket pengedaran dadah berleluasa tanpa pengawasan dan tindakan polis.

Selain rasuah dan salah guna kuasa, turut menjadi cabaran pasukan itu ialah kes jenayah rentas sempadan; usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low untuk dihadapkan ke muka pengadilan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB); penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan penglibatan anggota dan pegawai polis; dan terbaharu dakwaan terdapat kartel dalam PDRM berhasrat mendominasi pasukan itu demi kepentingan mereka.

Di sebalik semua cabaran itu, PDRM tetap cekal dalam melaksanakan tugas dan amanah mempertahankan keselamatan negara dan menjaga ketenteraman awam dan sambutan Hari Polis adalah sebagai tanda memperingati jasa dan pengorbanan 130,000 warga PDRM kepada rakyat dan negara.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kecuali tahun lepas, Hari Polis yang ke-214 pada 25 Mac disambut serentak di seluruh negara dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Tiada sambutan bagi Hari Polis tahun lepas berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang membataskan pergerakan dan majlis-majlis sosial baik rasmi atau tidak rasmi.

Tahun ini walaupun ada sambutan, sudah pasti ia diadakan dalam cara dan suasana berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana ia dilaksanakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Perbarisan kawalan kehormat oleh anggota dan pegawai serta pelbagai aset PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada pagi Khamis bakal dijalankan dalam suasana pematuhan SOP yang ketat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JPJ dalam kenyataan semalam memaklumkan tindakan itu adalah hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

“Pengurusan tertinggi JPJ berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” menurut kenyataan itu.

Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqomah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

Media melaporkan SPRM menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu peduli, ambil tahu untuk cegah rasuah

PUTRAJAYA, 13 JAN: Penjawat awam kini tidak lagi boleh bersikap “jangan jaga tepi kain orang” tetapi perlu ambil tahu dan peduli dengan perlakuan rakan di tempat kerja bagi mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata setiap perlakuan rasuah yang dilakukan oleh segelintir kecil penjawat awam akan terpalit kepada kumpulan majoriti yang berintegriti dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan amanah.

“Jika dulu kita melihat ia hanya terpencil kerana ia membabitkan sebilangan kecil penjawat awam, tetapi kini kita tidak boleh duduk diam kerana apa jua tindakan kita akan akhirnya ia sampai di hadapan kita.

“Inilah kumpulan minoriti yang seharus diketepikan. Kita adalah kumpulan majoriti dan ramai lagi penjawat awam yang berpegang teguh kepada prinsip penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi, secara dalam talian hari ini.

Menurut Mohd Khairul Adib, sepanjang tahun lepas, ada penjawat awam ditangkap dan dituduh kerana rasuah dan salah guna kuasa antaranya berkaitan isu kad pengenalan, kelonggaran kemasukan warga asing ke negara ini serta gangguan bekalan air.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘jangan jaga tepi kain orang’, malahan kita patut sama-sama menjaga dan memerhati perlakuan rakan-rakan di sekeliling kita. Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan terus menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi, dan akhirnya negara kita yang akan rosak binasa,” katanya.

Mohd Khairul Adib dalam amanatnya turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa meningkatkan integriti diri dan menjauhkan diri daripada gejala rasuah serta ketirisan amanah dan integriti; ambil tahu dan ambil peduli; serta memperkemaskan sistem dan prosedur kerja.

“Sekiranya kita sedar dan tahu tentang sebarang isu rasuah, atau sebarang bibit-bibit ke arah kerja yang tidak amanah, kita ada pilihan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.

“Kita boleh memberi nasihat sekiranya ia melibatkan orang yang kita kenal atau rakan sekerja kita. Jika kes yang kita lihat adalah serius atau melibatkan mereka yang kita tidak kenali, kita boleh membuat laporan sama ada kepada ketua jabatan atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Mohd Khairul Adib juga berkata penjawat awam tidak seharusnya menunggu habuan dan hadiah bagi mendedahkan perbuatan salah laku rakan sekerja atau kakitangan lain yang diketahuinya atau takut untuk membuat laporan.

Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata setiap organisasi perlu memperkemaskan sistem dan prosedur kerja kerana proses yang panjang, tiada ketelusan dalam membuat keputusan, polisi yang tidak sesuai dan lapuk, merupakan antara masalah birokrasi dihadapi di tempat kerja.

“Kenapa saya sering menekankan isu kepantasan dan profesionalisme dalam membuat keputusan adalah kerana ia berkait rapat dengan isu integriti.

“Isu birokrasi adalah antara faktor yang akan menyebabkan berlakunya salah laku, seperti mahu kelulusan yang cepat bagi permit pendatang asing. Ada pegawai yang menerima rasuah atas balasan mempercepatkan proses sesuatu permohonan.

“Justeru, kita harus sama-sama memikirkan bagaimana untuk memudahkan proses dan prosedur kerja kita tanpa kompromi daripada segi keselamatan dan undang-undang. Kita tutup ruang daripada berlakunya salah guna kuasa pegawai-pegawai pelulus ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JIPS: Banyak aduan dakwa polis tidak ambil tindakan sindiket dadah, judi

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima banyak aduan daripada orang awam mendakwa segelintir pegawai dan anggota polis tidak menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang di negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata antara kes yang didakwa tidak diambil tindakan adalah berkaitan sindiket pengedaran dadah dan perjudian.

Beliau berkata antaranya melibatkan kesalahan tidak melaporkan dan tiada tindakan diambil terhadap kes-kes jenayah dilapor oleh orang awam dengan mendiamkan diri serta membiarkan kawasan tadbiran mereka berleluasa dengan sindiket berkenaan.

“Sebagai contoh terdapat segelintir Ketua Polis Daerah (KPD) yang berpakat dan bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dan perjudian dengan mengambil habuan tertentu.

“Apabila ada orang awam melaporkan terdapat kegiatan sedemikian (pengedaran dadah dan perjudian), KPD yang menjaga kawasan di bawah pentadbiran masing-masing menafikan menerima aduan atau laporan daripada orang awam,” katanya kepada Bernama.

Zamri berkata isu salah laku dan masalah integriti dalam kalangan anggota dan pegawai masih berterusan walaupun banyak tindakan tatatertib telah diambil sejak 1986.

Beliau berkata habuan sindiket berkenaan dikatakan semakin meningkat mengikut peredaran zaman.

“Jika dahulu, kita hanya ada nombor ekor (tanpa lesen) dan zaman sekarang banyak perjudian dalam talian dan duit yang ditawarkan juga tinggi serta banyak pusat hiburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota jabatan itu yang didapati terlibat dengan sindiket dadah, sama ada secara langsung mahupun tidak.

“Saya tidak boleh nafikan ada anggota polis yang terlibat penjualan ketum…kami ada terima laporan berhubung perkara ini dan anggota ini akan dituduh di mahkamah.

“…dan tindakan itu bukan sampai di situ sahaja, JIPS juga akan mengambil tindakan sehingga mereka ini boleh dibuang kerja,” katanya dalam nada tegas.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK tekad perkukuh integriti, perangi rasuah

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertekad mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerja melalui pelaksanaan program memerangi rasuah.

Yang Dipertuanya berkata program meliputi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), ikrar integriti korporat (CIP) dan ikrar bebas rasuah (IBR).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjelaskan semua program terbabit mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MoU antara MPK dan SPRM bagi membanteras rasuah secara menyeluruh sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap integriti warga kerja kami.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjawab pertanyaan media selepas pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA2020) Peringkat Selangor di Bangunan MPK, Klang pada 9 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Program CIP pula bukan semata-mata menandatangani ikrar tetapi komitmen pengurusan MPK dalam memastikan kakitangan mempunyai integriti tinggi ketika melaksanakan tugas,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa PBT Perangi Rasuah peringkat MPK di Dewan Raja Mahadi di sini hari ini.

Ahmad Fadzli berkata program IBR menekankan janji pihak pengurusan dan warga kerja secara sukarela untuk memastikan setiap individu lebih bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, program memerangi rasuah akan turut diperluas kepada peniaga dan pemegang lesen bagi membentuk budaya niaga berintegriti serta beretika.

“Rasuah dan penyelewengan akan menghalang pembangunan negara selain meluaskan jurang kemiskinan serta menjejaskan hasrat meningkatkan kualiti hidup sejagat,” katanya lagi.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Integriti belia cabaran 2030

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ungkapan ‘duit kopi’ seolah-olah satu perkara biasa dan agak sebati dengan kehidupan seharian sebilangan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

Kebiasaan itu jika diamalkan bukan sahaja boleh memudaratkan malah boleh membawa keruntuhan kepada negara kerana ia melibatkan integriti sistem pentadbiran sesebuah negara dan keadaan lebih buruk apabila gejala ‘duit kopi’ atau lebih tepat lagi rasuah itu menular dalam kalangan generasi muda atau milenial.

Oleh itu, telah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah pada gejala rasuah yang sememangnya menjadi cabaran besar buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tatkala Malaysia dalam landasan menuju negara maju menjelang 2030.

Dalam membanteras ‘musuh nombor satu negara’ itu, tumpuan harus diberi pada generasi muda atau golongan milenial memandangkan lebih separuh daripada jumlah individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih lima tahun lepas terdiri daripada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2014 sehingga Jun lepas, seramai 4,860 orang telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.

“(Ini menunjukkan) bukan generasi tua sahaja yang gagal (terlibat rasuah) dan kurang integriti tetapi golongan muda yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara juga kini sudah melakukan rasuah. Apa bakal terjadi kepada negara pada masa hadapan nanti,” kata aktivis antirasuah Datuk Seri Akhbar Satar kepada Bernama baru-baru ini.

Perkembangan itu juga menurutnya menimbulkan persoalan sama ada strategi dan pendekatan yang diambil bagi menangani isu rasuah sebelum ini adalah betul-betul berkesan.

Sehubungan itu, Akhbar mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi memahami ‘root cause’ kepada masalah integriti itu dan melihat sama ada ia berpunca daripada faktor tertentu seperti cara individu dibesarkan, pendidikan atau ekonomi.

Hasil penemuan daripada kajian itu boleh digunakan untuk merangka satu modul antirasuah yang baharu.

“Melalui kajian itu, kita boleh buat modul membanteras rasuah dengan acuan kita sendiri. Ini penting kerana kita tak boleh ikut (atau ambil) modul sedia ada dari negara luar kerana mereka mempunyai nilai kehidupan, budaya, malah etnik yang tersendiri,” ujarnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH telah mengambil langkah memerangi rasuah secara total kerana menyedari natijahnya yang boleh merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara seperti ditekankan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Usaha itu dibuktikan dengan pengenalan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari tahun ini yang memfokuskan enam sektor utama merangkumi politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Ketegasan kerajaan PH juga memperlihatkan kesan positif apabila Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, berbanding tempat ke-62 pada tahun lepas.

Namun, semua usaha itu bakal menjadi sia-sia sekiranya tumpuan tidak diberikan kepada generasi akan datang kerana pembelajaran dan kesedaran ‘katakan tidak pada rasuah’ itu harus bermula awal iaitu di peringkat sekolah lagi, kata Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.

Sambil menyifatkan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran adalah satu perkara yang baik, beliau juga mencadangkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil antirasuah lain untuk terlibat sama dalam mendidik generasi muda.

Kerjasama itu, katanya boleh dimulakan dengan penganjuran program seperti ceramah integriti bagi menerapkan pendidikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar sekolah.

“Program itu ialah bengkel sehari, kita akan draf program (termasuk) yang ringkas seperti pertandingan mencipta poster, menulis esei yang berkaitan dengan rasuah…dan (juga aktiviti) mewarna untuk budak kecil.

“Ceramah integriti seperti ini, kita (akan) terlibat secara terus dengan mereka (pelajar), kita akan terapkan nilai-nilai baik (kepada mereka). Pelajar ini bila jumpa dengan orang luar mereka akan lebih teruja berbeza dengan cikgu mereka sendiri (ketika mengajar),” katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye juga senada bersetuju pentingnya pendidikan antirasuah dimulakan di sekolah, tetapi beliau merasakan lebih mustahak lagi usaha untuk menanamkan sikap atau mentaliti ‘takut’ untuk melakukan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, budaya takut melakukan rasuah itu boleh diterapkan dengan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat atau penalti yang lebih tinggi.

“Yang penting adalah aspek kesedaran dan pendidikan (menentang rasuah) tetapi pada waktu yang sama kita mahu meletakkan perasaan takut untuk melakukan rasuah. Kita perlu tanamkan perasaan takut terhadap mereka supaya tidak melakukan rasuah, sekiranya mereka terlibat, mungkin mereka perlu menerima (akibat) yang buruk,” katanya.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Antara Lee Hsien Loong, Jokowi dan Najib

Integriti Singapura

Kita sudah acap kali berbicara mengenai integriti pemimpin sebuah negara kecil yang terletak hanya di seberang Tambak Johor. Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila berani menjadikan Parlimen sebagai medan muhasabah setelah krisis keluarga beliau menjadi perbincangan umum.

Lee dipuji melangit oleh rakyat Singapura atas keberanian beliau membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk mempersoal mengenai dakwaan kegagalan beliau menuruti wasiat mendiang Lee Kuan Yew berkenaan pengurusan rumah pusaka tinggalan ikon pembebasan Singapura itu. Bukan semata-mata memberi jawapan, tetapi beliau menyediakan proses yang cukup tuntas untuk merungkai kebenaran.

Kesungguhan Jokowi

Terbaru, Presiden Joko Widodo pula diserang oleh media-media utama Indonesia kerana membawa bersama ahli keluarganya dalam lawatan kerja ke Turki dan German pada 5 hingga 9 Julai lalu. Dia disifatkan sebagai gagal mempamerkan kesederhanaan seorang Presiden.

Padahal, semua kos untuk membawa ahli keluarga Presiden itu ditanggung duit kocek Jokowi sendiri. Menurut Menteri Sekreteris Indonesia Prof. Dr. Pratikno, Jokowi tegas untuk memastikan penjimatan wang negara bermula daripada Pejabat Presiden. Malah beliau menolak cadangan untuk menyewa pesawat yang lebih besar meskipun bagi tujuan lawatan rasmi jarak jauh.

3 mukaBegitulah cerita dua ketua negara yang menghimpit negara kita. Alangkah sedihnya apabila kita hanya mampu menceritakan yang indah-indah tentang pemimpin negara-negara orang, sedangkan kita cukup tahu apa yang sedang dibicarakan negara orang tentang pemimpin kita.

Maruah Najib

Mungkin panik akibat asakan banyak pihak ekoran skandal 1MDB, maka Najib sekeluarga menaiki pengangkutan awam dan dihebohkan kepada seluruh Malaysia. Tapi rakyat takkan lupa keluarga yang sama juga pernah menaiki pesawat rasmi kerajaan untuk pergi bercuti di Australia dan Bali. Jika rakyat menanti Perdana Menteri membuka ruang dalam Parlimen seperti yang dibuat Lee Hisen Loong, mungkin hanya berlaku dalam mimpi. Jika rakyat mengharapkan Perdana Menteri menyediakan dialog terbuka bagi menjawab segala tuduhan kepada beliau, seperti sangat mustahil untuk Malaysia hari ini.

Hanya ada satu pilihan, ubah

Oleh itu tiada pilihan lain lagi. PRU14 nanti akan menjadi medan untuk rakyat menutup semua cerita-cerita duka untuk Malaysia. Jika Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, kita khuatir Malaysia akan terus menjadi bahan sindiran masyarakat antarabangsa. Jangan biarkan Malaysia terus dipimpin oleh pemimpin yang tak punya maruah.
Pandangan Peribadi :

Syukri Razab
Setiausaha Pengelola
Angkatan Muda Keadilan Pusat

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PDTK amalkan budaya kerja berintegriti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 16 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK) sentiasa mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatannya kepada masyarakat.

Pegawai Daerah dan Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya menjalankan fungsi unit integriti sejak 2014 seiring dengan penubuhan Unit Integriti di peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Elemen integriti adalah salah satu etika penting dan nadi kepada pencapaian hasil kerja.

“Selain penubuhan unit integriti, kita juga menyertai dan mengendalikan beberapa program berkaitan integriti dengan menyasarkan memberi kesedaran serta kefahaman kepada semua kakitangan PDTK,” katanya ketika Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), di pejabat PDTK, di sini, hari ini.

PENGARAH TNB KLANGSebelum itu, difahamkan PDTK juga pernah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dalam menjayakan Program Kembara Integriti di Pulau Ketam, pada tahun lalu.

“Saya yakin semua kakitangan bersikap telus kerana sebelum ini kita menubuhkan Jawatankuasa Audit Dalam bertujuan mengaudit urusan perolehan dan kewangan bagi mengesan sebarang ketirisan yang berlaku dalam PDTK sendiri.

“Selain itu, dengan adanya persijilan MS ISO 9001:2008 dan pensijilan 5S, prosedur kerja adalah tetap dan perlu dipenuhi semua kakitangan kerana jika semuanya dipatuhi, maka kita yakin dapat mencegah jika berlaku rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.

Beliau sendiri menjalankan pemeriksaan secara mengejut ke atas semua pegawai rekod kewangan dan perolehan di Unit Kewangan dan Unit Hasil.

“Setakat ini, selama saya berkhidmat di PDTK tidak ada kes rasuh atau salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan.

“Saya berharap program IBR hari ini dapat memberi mesej kepada Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan kerajaan serta orang awam bahawa kita komited untuk bebas daripada rasuah,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Sambut baik usaha SPRM, tingkat integriti pentadbiran Kerajaan Negeri

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 APR: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik inisiatif berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah secara agresif di peringkat pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, usaha tersebut mampu meningkatkan lagi prinsip ketelusan dan intergiriti penjawat awam bagi menjamin pentadbiran lebih bersih.

Azmin Rakyat“Kerajaan Negeri mendukung usaha SPRM untuk meningkatkan integriti dalam pentadbiran kerajaan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Mohamed Azmin menerima kunjungan hormat Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Norazlan Mohd Razali, di sini, pagi ini.

Mohamed Azmin sebelum ini menegaskan penjawat awam di seluruh negeri perlu berpegang teguh pada prinsip memerangi amalan rasuah bagi mengekalkan integriti ke arah pentadbiran negeri bebas rasuah.

Kerajaan Negeri juga sebelum ini konsisten menjalankan kerja audit terhadap program MES di Pejabat DUN dan Ahli Parlimen Selangor bagi memastikan keberkesanan program sampai kepada golongan sasaran.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pejabat Integriti bukti ketelusan Kerajaan Negeri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 APR; Usaha Kerajaan Negeri menubuhkan Pejabat Integriti mendapat sokongan rakyat yang menginginkan pentadbiran sedia ada mengamalkan prinsip keterbukaan dan ketelusan.

Eksekutif Pemasaran, Ahmad Dahlan Abdul Rashid, 32, berkata masa yang sangat sesuai untuk mempraktikkannya bagi mengelak pandangan serong masyarakat terutama membabitkan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Voxpop isu pejabat integriti (1)“Saya menyokong langkah diambil Kerajaan Negeri bagi memperkasa dan meningkatkan kembali pentadbiran awam.

“Dengan cara ini, pentadbiran dari atas hingga bawah dapat dipantau supaya tidak berlaku sebarang ketirisan dan rasuah,” katanya kepada Selangor Kini.

Pekerja swasta, Mohd Ridzuan Zainuddin, 30, berkata, Selangor dilihat mengambil langkah ke hadapan apabila menubuhkan Pejabat Integriti demi kebaikan rakyat.

“Usaha ini banyak membawa kebaikan kepada rakyat kerana segala masalah dihadapi mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

“Petugas dipertanggungjawab menjalankan tugas penuh amanah dan integriti. Sewajarnya ia disokong semua pihak,” katanya.

Voxpop isu pejabat integriti (5)Sementara itu, K Paramasiwam, 35, merasakan perkhidmatan awam akan kembali dipandang tinggi apabila pendekatan itu dipraktikkan.

“Bila langkah ini dilaksana, saya yakin pandangan serong orang ramai akan berubah dan kualiti pentadbiran akan meningkat. Usaha dibuat Kerajaan Negeri tepat pada masanya bagi kemajuan kita bersama,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, proses penubuhan Pejabat Integriti selari dengan dasar Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip pentadbiran bersih dan berintegriti.

-NFN-