Categories
SELANGOR

MBPJ peruntuk lebih RM90 juta selenggara jalan, saliran & landskap

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 5 NOV: Bajet 2015 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi keutamaan kepada perbelanjaan menyelenggara jalan raya, sistem saliran dan landskap dengan memperuntukkan lebih RM90 juta.

Datuk Bandarnya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, budaya menyelenggara yang baik mampu memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk selain mengurangkan kos.

jalan sultan mbpj

Katanya, tahap penyelenggaraan rendah menyebabkan berlakunya kerosakan, kebocoran, keruntuhan dan keretakan infrastruktur serta fasiliti yang mampu mengancam nyawa.

“Ia menjejaskan kepercayaan rakyat khususnya pembayar cukai di bandar ini, seterusnya menjadikan kos semakin tinggi, sama seperti membina prasarana baru,” katanya baru-baru ini.

Bajet 2015 MBPJ dibentangkan Alinah pada 3 Oktober lepas bersifat defisit dengan matlamat agar wang lebihan dimanfaatkan kepada penduduk dengan kelengkapan infrastruktur, penjagaan alam sekitar dan pembangunan sosial.

Mengulas lanjut, Alinah berkata, sejumlah RM 11.08 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf longkang serta kerja-kerja mengatasi banjir.

Sementara itu, RM20.48 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan longkang dan saliran, bangunan serta kemudahan awam di samping RM1.29 juta pula untuk cadangan melantik perunding bagi menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran.

“Kita juga menubuhkan ‘Drainage Gang’ dan Unit Penguatkuasaan Saliran bagi memastikan aduan penduduk dapat diselesaikan dengan pantas.

“Selain itu, kita tubuhkan kumpulan peronda jalan, tugas mereka meronda tengok jalan kalau berlubang terus tampal.

“Kalau rancangan ini berjaya, kita tambah lagi pasukan pada tahun hadapan daripada enam pasukan yang ada sekarang,” katanya lagi.

Bajet lain termasuk RM11.85 juta untuk penyelenggaraan lampu jalan, perabot jalan, menurap jalan, lampu hiasan dan lampu isyarat.

Manakala RM24.26 juta diperuntukkan untuk tempat kemudahan awam dan perniagaan, RM7.11 pula untuk penyelenggaraan pejabat dan bangunan.

MBPJ memperuntukkan RM15.53 juta untuk kerja penyelenggaraan landskap, pembangunan koridor hijau dan Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya dan Taman Rimba Riang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.