Categories
SELANGOR

Tingkat budaya membaca, PPAS sedia lanjut operasi hingga 10 malam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 NOV: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyambut baik hasrat Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, setiap perpustakaan awam di Selangor melanjutkan operasi sehingga jam 10 malam.

Pengarahnya, Mastura Muhamad, berkata cadangan itu sesuatu yang bagus dan pihaknya akan berusaha untuk merealisasikan.

PPAS“Ini bermakna Dato’ Menteri Besar berpandangan perpustakaan ini satu tempat yang penting untuk masyarakat.

“Malah saya sudah mengadakan perbincangan dengan Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad. Beliau juga bersetuju dengan cadangan dan apa diperkatakan Dato’ Menteri Besar. Kita juga memutuskan untuk menjemputnya datang melawat ke perpustakaan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam program turun padang ke daerah Petaling pada 31 Oktober lalu, Azmin berkata, tempoh waktu perpustakan awam perlu diputuskan semua supaya budaya membaca di kalangan rakyat ditingkatkan.

Mastura berkata, tiada halangan bagi PPAS untuk mempraktikkan hasrat Kerajaan Negeri itu namun kemungkinan ia membabitkan lebih peruntukan dari segi utiliti, keselamatan dan kakitangan.

Katanya, tempoh waktu bekerja bagi kakitangan perpustakaan di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini akan melebihi 12 jam sehari dan ketiadaan pengangkutan awam turut mendatangkan masalah sekiranya waktu bekerja dibuat secara syif.

Mastura PPAS“Kita juga mengkaji keperluan melaksanakannya di perpustakaan daerah dan cawangan lain di Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, Mastura berkata, langkah awal melanjutkan tempoh operasi perpustakaan sudah dilaksanakan PPAS pada 2012.

“Atas titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang melawat ke sini, perpustakaan sudah dibuka pada jam 9.30 pagi hingga 9 malam pada hujung minggu manakala hari biasa dilanjutkan sejam dari 6 petang ke 7 malam.

“Sambutan daripada pengunjung amat membanggakan,” katanya.

Sebelum ini, waktu operasi perpustakaan ialah bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.