Categories
SELANGOR

MQA: UNISEL capai penarafan Tier 5 Cemerlang

SHAH ALAM 21 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) berjaya diberikan penarafan Tier 5 (Cemerlang) menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi bagi 2013 (SETARA ’13).

Ketua Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan, berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 17 November lalu memaklumkan UNISEL memperolehi keputusan pencapaian dan perincian markah penarafan SETARA ’13 dengan memperolehi Tier 5 secara keseluruhan.

Unisel-Grafik“Kejayaan diberikan penarafan Tier 5 kepada UNISEL amat bermakna buat semua warga universiti, baik pengurusannya serta para pelajar yang sentiasa menunjukkan komitmen untuk terus memperkasa universiti.

“Penarafan ini juga boleh diperlambangkan sebagai hadiah paling bermakna sempena 15 tahun penubuhan UNISEL. Kini UNISEL mampu ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan semua Institut Pengajian Awam & Swasta di Negara,” kata Hasril dalam kenyataan media.

Katanya, kejayaan ini mengingatkan, betapa UNISEL turut bersama membangun dan melakar sejarah universiti, membina nama dan mengubah persepsi.

“Pengurusan Universiti memang serius memastikan kepakaran dan modal insan di UNISEL terus dimantapkan.

“Sebagai sebuah universiti pertama Kerajaan Negeri, UNISEL meletakkan ‘benchmark’ sebagai sebuah universiti yang mampu meningkatkan inovasi dan menyumbang kepada negara,” katabt

Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2013 (SETARA ’13) disertai 53 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

SETARA ’13 mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam (peringkat Ijazah Pertama) Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) dan merupakan kesinambungan kepada Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2011 (SETARA ’11) yang dilaksanakan dalam bentuk penilaian semula (review).

Menurut laporan keputusan penarafan, sebanyak tujuh IPT yang telah berada di kedudukan Tier 4 dalam SETARA ’11 telah meningkat pencapaian ke Tier 5 dalam SETARA ’13.

Sebuah IPT yang berada di Tier 3 pula telah berjaya meningkat pencapaian ke Tier 4 dalam SETARA ’13.

Empat puluh dua IPT telah mencapai Tier 5 (Cemerlang) dan 11 IPT telah mencapai Tier 4 (Sangat Baik). Walau bagaimanapun, tiada IPT dalam Tier 6 (Terbilang).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.