Categories
SELANGOR

PANTAS ke Cameron Highlands bantu mangsa banjir kilat

CAMERON HIGHLANDS, 8 NOV: Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) digerakkan untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa banjir kilat di Cameron Highlands, hari ini.

Semalam, Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi membantu mangsa bencana banjir di sana.

10391374_1006559622703086_6461488085239206137_nExco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, peruntukan itu diluluskan dan dihantar segera bagi membantu mangsa bencana.

Dalam pada itu, sehingga pukul 9.30 pagi ini, mangsa banjir kilat yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Dewan Serbaguna Orang Ramai, Ringlet di sini adalah berjumlah 91 orang daripada 28 keluarga.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata kesemua mangsa dipindahkan ke situ sejak Rabu lepas.

Beliau berkata mangsa masih tidak dibenarkan pulang ekoran cuaca yang tidak menentu.

“Faktor cuaca tidak mengizinkan kerana hujan lebat turun sekejap-sekejap. Mangsa hanya akan dibenarkan pulang untuk mengambil barang keperluan apabila hujan berhenti,” katanya dipetik Bernama.

Para mangsa merupakan penduduk sekitar tebing Sungai Bertam yang diarah berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Sementara itu Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing berikutan hujan lebat selama sejam.

Lima orang terkorban manakala lima lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di sini Rabu lalu.

Gambar : Facebook Haslan Ampang yang mengikuti misi bantuan ke Cameron Highlannds

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.