Categories
SELANGOR

Seni & budaya perlu seiring dengan pembangunan negeri

Oleh: AFEEQA AFEERA

KAJANG, 2 NOV : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menggerakkan aspek seni dan budaya di peringat tertinggi seiring dengan kemajuan yang ingin dikecapi di Selangor.

Exco Pembangunan, Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kedua-dua aspek itu perlu menjadi teras terhadap apa jua matlamat yang ingin dicapai bagi memastikan pembangunan negeri lengkap.

YB Amiruddin di Festival Seni Kajang (7)Katanya usaha itu untuk menonjolkan aspek terbabit sebagai imej Selangor melalui belanjawan negeri 2015 yang akan dibentangkan kelak.

“Kalau kita ingin laksanakan perubahan dan anjak masyarakat, kebudayaan juga perlu dianjak dan bersama-sama dengan aspek lain.

“Jika ingin bawa kemakmuran tetapi tinggalkan seni dan budaya ia tidak lengkap sebagai tamadun, kelompok bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan Festival Seni Kajang dan Bazar Kraf Selangor 2014 di Stadium Kajang, dekat sini malam tadi.

Festival anjuran Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu bagi menonjolkan kepelbagaian bentuk seni kepada masyarakat selain membantu pengusaha barangan kraf tempatan mempromosikan produk mereka.

YB Amiruddin di Festival Seni Kajang (1)Program julung kali itu menampilkan pelbagai acara menarik antaranya pameran kereta, persembahan tarian kebudayaan, nyanyian dan jualan kraftangan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pelbagai program kebudayaan dan kesenian akan dilancarkan pada penghujung Disember depan sebagai sambutan acara Tahun Melawat Selangor.

Katanya antara program yang diberi tumpuan adalah anugerah keseniaan dan kebudayaan untuk menghargai penggiat seni yang cemerlang di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Selangor sebagai sebuah negeri maju banyak menyediakan kemudahan seni antaranya laman seni dan pusat perfileman.

“Malah kita menjadi negeri penempatan seni terbesar yang ada di seluruh negara seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memiliki program seni persembahan yang memberi nilai tambah kepada Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu Kerajaan Negeri mengemukakan hasrat memperbanyak program serta aktiviti seni dan budaya dengan menyediakan peruntukan tiga kali ganda lebih banyak berbanding tahun lepas.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.