Categories
SELANGOR

Pulau Ketam gamit pelancong dengan keindahan tersendiri

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Pulau Ketam, dekat sini, yang memiliki keindahan dan keistimewaan tersendiri mampu menggamit kehadiran pelancong tempatan dan luar negara seterusnya menggalakkan industri pelancongan di Selangor.

Pengurus Perhubungan Awam, Komunikasi dan Pemasaran Tourism Selangor, Nazri Tashriq, berkata usaha Kerajaan Negeri memajukan pulau terbabit tepat pada masanya demi kebaikan pelancongan negeri.

“Tourism Selangor menyokong penuh usaha Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, memastikan Pulau Ketam sentiasa dalam keadaan yang bersih. Pulau Ketam adalah salah satu kawasan tarikan pelancongan di Klang.

MB-program turun padang MB ke daerak lang-pulau ketam (308)“Walaupun kumpulan pelancong yang tiba bukan dari golongan elit, namun tarikan bagi pelancong tempatan dan negara jiran seperti Singapura menjadi tempat tumpuan mereka untuk meninjau kawasan yang menarik di pulau berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, kebersihan di Pulau Ketam harus diambil perhatian yang tinggi dalam memastikan keselesaan pelancong, tidak terkecuali kemesraan masyarakat pulau yang dapat menarik minat pengunjung.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu memberi perhatian dalam pembangunan naik taraf jeti pulau itu bersama Kerajaan Persekutuan demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

“Ia adalah tarikan pertama pelancong untuk ke Pulau Ketam. Pulau ini menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu dan cuti umum. Hal ini menunjukkan perkembangan positif dalam industri pelancongan dan dapat membantu pendapatan ekonomi setempat penduduk pulau melalui industri pelancongan.

“Kerajaan harus membantu menyediakan pasarana yang baik dan mempunyai standard tinggi untuk menerima lebih ramai pelancong ke Pulau Ketam,” katanya.

pulau ketamNazri berkata, Tourism Selangor sedia membantu mempromosikan pulau itu melalui program dan acara pelancongan termasuk siaran berita dan ulasan pelancongan serta hebahan melalui laman media sosial.

Baru-baru ini, Pulau Ketam menjadi tumpuan umum ekoran laporan akhbar menyatakan ia salah satu pulau di Selangor yang berdepan ancaman kemusnahan, bahkan lebih buruk dikhuatiri akan terus lenyap daripada peta dunia akibat terdedah kepada hakisan ombak berikutan kemusnahan besar-besaran hutan paya laut yang sebelum ini melindunginya.

Lima pulau lain yang dikesan bakal lenyap akibat mengalami hakisan teruk itu adalah Pulau Klang, Pulau Che Mat Zin, Pulau Tengah, Pulau Selat Kering dan Pulau Pintu Gedong.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Kerajaan Negeri dengan memaklumkan keluasan hutan simpanan kekal bertambah dari 15,090 hektar kepada 18,998 hektar pada 2009 termasuk Kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal pada 6 Mei 2009 seluas 2,365 hektar yang asalnya adalah tanah kerajaan.

Dalam lawatan turun padang ke Pulau Ketam, 17 Oktober lalu, Mohamed Azmin berkata, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Worldwide Holding Berhad (Worldwide) dipertanggungjawabkan menguruskan masalah pencemaran sampah di situ.

Katanya, apabila ia diatasi maka industri pelancongan dapat ditingkatkan berikutan kehadiran pelancong yang ramai pada hujung minggu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.