Categories
SELANGOR

Selangor berjaya tarik lebih 4.6 juta pelancong sehingga September

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor berjaya menarik kunjungan sehingga lebih 4.6 juta pelancong ke negeri itu hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, sehingga September lalu.

Exco Pelancongan, Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) berkata, sebahagian besarnya adalah pelancong dalam negara sementara hampir dua juta lagi pelancong luar negara.

Katanya, jumlah itu juga dijangka akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini memandangkan Kempen Tahun Melawat Malaysia masih giat dijalankan selain ia adalah musim cuti persekolahan.

Masjid Shah Alam“Selain itu, program promosi yang dijalankan membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Selangor.

“Tambahan pula, Selangor adalah pintu masuk ke Malaysia dan hal itu menyebabkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong ke sini,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dari Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS-Gombak Setia) berhubung jumlah pelancong sepanjang tahun ini.

Elizabeth Sidang DUN 02 jul 01Menjawab soalan lain, Elizabeth memberitahu terdapat banyak produk baru di negeri itu yang diwujudkan untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Antara produk kita adalah Mitsui Premium Outlet di Sepang, Central Plaza di Shah Alam dan Royal Klang Heritage Walk di Klang.

“Kita juga ada Chocolate Museum di Petaling Jaya; Istana Alam Shah, Klang, Damansara Performing Arts Centre (Petaling Jaya), Dusun Garden Fairies (Hulu Langat) dan Bandar Warisan Batu Arang (Gombak),” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.