Categories
SELANGOR

Selangor-UPM jalin kerjasama: Negeri pertama rangka dasar belia

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Selangor merupakan negeri pertama berjaya merangka dasar belia negerinya sendiri berbanding negeri lain.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari berkata selain mewujudkan Dasar Belia Selangor (DBS), Selangor juga antara negeri terawal mewujudkan jaringan dan saluran terbuka antara kerajaan dan generasi muda.

belia8“Kalau ikut sejarah kita antara negeri terawal pada 2008 mencipta saluran dan jaringan antara kerajaan dan anak muda dengan lebih terbuka iaitu yang dipanggil Penggerak Belia Tempatan (PBT).

“Kita juga merupakan negeri pertama yang merangka dasar belia negeri sendiri dan langkah ke hadapan ini memang patut kita bangga tetapi bangga sahaja tidak mencukupi harus diberdayakan atau diaplikasikan dan dilaksanakan di peringkat akar umbi,” kata Amiruddin.

Amiruddin berkata demikian dalam Program Taklimat Pembentangan Laporan Akhir Dasar Belia Negeri Selangor di Bangunan Annexe, di sini, malam tadi.

Jelas Amiruddin, DBS itu dirangka berdasarkan hasil kerja sama kajian Kumpulan Penyelidik Institut Kajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kata Amiruddin lagi, DBS sebelum ini menetapkan enam bidang keutamaan yang menjadi teras dasar terbabit.

Enam bidang itu adalah pendidikan dan kemahiran, keusahawanan dan perkerjaan, kepimpinan dan organisasi, sukan, kemasyarakatan serta kesenian dan kebudayaan.

Bagaimanapun berdasarkan keputusan kajian pasukan penyelidik yang diketuai Profesor Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Prof Dr Bahaman Abu Samah itu, Kerajaan Negeri menambah empat lagi bidang keutamaan dan menambah baik enam bidang sedia ada.

Empat bidang itu, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kesejahteraan dan kesihatan, agama dan akhlak dan pengantarabangsaan.

Prof Dr Bahaman disamping mengiktiraf Selangor sebagai negeri pertama mempunyai dasar belianya sendiri, memberitahu langkah mentakrifkan semula belia negeri itu sebagai langkah ke hadapan yang selaras dengan piawaian penarifan belia antarabangsa.

“Dalam konteks DBS dicadangkan umur belia diantara 15 hingga 30 tahun yang takrifan ini selari dengan penarifan belia antarabangsa,” kata Prof Dr Bahaman.

Jelas beliau kumpulan belia di Selangor dibahagikan tiga kumpulan iaitu belia remaja yang berumur 15 – 18 tahun, belia muda (19 – 24 tahun) dan belia dewasa (25 – 30 tahun).

Commonwealth serta European Union (EU) mentakrifkan umur belia 15 hingga 29 tahun dan manakala Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pula 15 ke 24 tahun.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.