Categories
NASIONAL

Selepas Kampung Chubadak, kini Banggol Donas terima nasib sama

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 NOV : Lebih seminggu selepas insiden beberapa buah rumah dirobohkan di Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, kini penduduk Kampung Banggol Donas, Terengganu menerima nasib sama.

Kampung tradisi Melayu yang wujud lebih 100 tahun lalu ingin dimusnahkan ekoran kerakusan Kerajaan Terengganu untuk membina susur jalan sepanjang 7.6 kilometer dari Kampung Jeram di situ ke Kampung Bukit Guntong dengan kos RM229 juta.

banggol donasKetua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, berkata penduduk sejak 2008 sudah mencadangkan pembinaan jalan terbabit menggunakan tanah di sekitar kawasan yang tidak berpenghuni namun diabaikan pihak kerajaan.

Katanya terdapat laluan yang boleh dibina tanpa menyentuh kampung berkenaan, namun kerajaan negeri seolah-olah enggan untuk mengubahnya.

“Daripada 24 keluarga yang asalnya bertahan kini hanya tinggal lima keluarga yang masih kukuh di sini walau diugut dengan pelbagai cara.

“Lebih menarik semua penduduk mempunyai geran tanah namun akhirnya dimaklumkan mereka menduduki tanah kerajaan.

“Isu itu sekaligus menjadi sebahagian daripada episod bagaimana orang Melayu terpinggir di bumi sendiri setelah Kampung Chubadak mengalami nasib yang begitu malang,” katanya kepada Selangor Kini dan melalui tulisan di Facebook.

Suhaizan berkata Laporan Audit 2011 juga membuktikan proses pengambil alihan tanah di kampung tersebut tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

katanya lebih menghairankan bagaimana kerja-kerja pembinaan boleh dijalankan sedangkan tanah terbabit masih belum diwartakan lagi.

“Ada lima buah keluarga lagi yang tidak mendapat pampasan tetapi mereka sudah terima notis untuk keluar dari kawasan itu.

“Sepatutnya urusan bayaran pampasan diutamakan dan disegerakan sebelum projek itu dilaksanakan, tetapi disebabkan kerakusan kerajaan negeri yang mahukan projek itu segera dijalankan, maka mereka diusir,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membawa isu penindasan rakyat ini ke peringkat kerajaan pusat tidak lama lagi bagi memastikan insiden sama tidak terus berulang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.