Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapakah kertas soalan simpanan UPSR tidak digunakan?

Oleh: Zairil Khir Johari

Saya menerima baik berita bahawa dua orang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok berkaitan kes pembocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 28(3) Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980, mereka boleh didenda RM10,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun, atau kedua-dua sekali.

Pada bulan September lalu, lebih 473,000 calon UPSR dikejutkan dengan berita pembocoran kertas soalan, mula-mula dengan kertas Sains dan Bahasa Inggeris, dan kemudiannya Matematik dan Bahasa Tamil. Akibatnya, murid-murid terpaksa menunggu sebulan untuk mengambil semula kertas-kertas tersebut.

upsr-1Peristiwa ini bukan sahaja memalukan negara dan menimbulkan kesangsian umum terhadap pengendalian peperiksaan awam, tetapi juga mengakibatkan keresahan dan tekanan mental bagi hampir setengah juta murid tahun enam di serata negara, di samping menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.

Namun begitu, ini bukan kali pertama pembocoran kertas soalan berlaku, dan ramai yang tertanya bagaimanakah perkara ini boleh terus berlaku. Tidakkah ada cara untuk mengelak atau memitigasikan pembocoran sedemikian?

Saya ingin merujuk kepada laporan The Edge Financial Daily pada 3 Oktober 2014, di mana sumber dalaman memberitahu bahawa Lembaga Peperiksaan secara lazimnya akan menyediakan tiga set kertas soalan. Justeru, sekiranya berlaku pembocoran, maka set simpanan akan digunakan.

Menurut laporan yang sama, pembocoran pernah berlaku pada tahun 2004 bagi kertas soalan Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Punca pembocoran itu dikatakan berlaku di Sarawak, namun arahan telah dikeluarkan secara senyap bagi menggantikan semua kertas soalan mata pelajaran tersebut di seluruh negara.

Pertukaran ini berlaku pada tengah malam dengan kerjasama antara pegawai-pegawai Kementerian dan pihak polis. Pada hari esoknya, peperiksaan berjaya dilaksanakan dengan kertas soalan simpanan tanpa disedari sesiapa.

Maka, saya ingin bertanya sama ada kertas soalan simpanan bagi UPSR tempoh hari telah disediakan sepertimana dalam peperiksaan SPM.

Jika ya, mengapakah kertas soalan simpanan tidak diguna pakai, khususnya bagi mata pelajaran Sains yang telah diketahui pembocorannya pada 10 September, iaitu sehari sebelum ia dijadualkan berlangsung?

Tambahan kepada itu, mengapakah murid-murid terpaksa menunggu hampir sebulan untuk menduduki semula kertas-kertas tersebut?

Meskipun pembocoran itu dikesan kemudian, seperti dalam kes kertas soalan Matematik dan Bahasa Tamil, tidak bolehkah kertas soalan simpanan digunakan dalam masa yang terdekat?

Tindak balas yang kurang bijak daripada pihak Kementerian menimbulkan pelbagai keraguan. Oleh itu, Kementerian harus menjelaskan apakah tatacara operasi standard (SOP) dalam pengendalian peperiksaan awam?

Adakah kertas soalan simpanan disediakan bagi UPSR tahun ini, dan mengapakah ia tidak diguna pakai, khususnya bagi kertas Sains? Sekiranya kertas soalan simpanan tidak disediakan, Kementerian harus juga menerangkan kenapa.

Dalam pada itu, saya ingin mengulangi cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bukan sahaja untuk menyiasat insiden pembocoran kertas soalan UPSR ini, tetapi juga untuk meneliti penurunan taraf pendidikan secara umum di negara kita akibat masalah dasar yang tidak teliti, tadbir urus yang tidak efisien dan pembaziran wang awam yang berleluasa.

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.