Categories
NASIONAL

Tanah rizab Melayu susut 12%, MTN gagal laksana tugas

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Penyusutan Tanah Rizab Melayu hanya kepada 12 peratus pada 2009 seluas 1.6 juta hektar daripada 12.9 juta hektar menunjukkan kegagalan Majlis Tanah Negara (MTN) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib selaku Pengerusi Majlis Tanah Negara sepatutnya menyelaras dan menasihat supaya penguatkuasaan perundangan penggantian Tanah Rezab Melayu dilaksanakan.

ParlimenKatanya, penyusutan ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak sensitif selain merugikan orang Melayu di masa hadapan.

“Saya membangkitkan isu Tanah Rezab Melayu ini nak menggambarkan bahawa kegagalan Majlis Tanah Negara dalam memastikan jumlah tanah yang ada itu tidak berkurangan.

“Mereka (MTN) menjadi penyelaras dan penasihat gagal menjalankan tanggungjawab seperti diperuntukkan Perlembagaan dalam memastikan penguatkuasaan dalam Perkara 89 apabila tanah diambil hendaklah diganti dengan jumlah sama,” katanya di Lobi Parlimen.

Mahfuz sebelum ini mengemukakan usul isu penyusutan Tanah Rezab Melayu dibincangkan di Dewan Rakyat namun ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia.

Beliau mencadangkan supaya Lembaga Amanah Tanah Rezab Melayu diberikan kuasa menurut undang-undang Persekutuan ditubuhkan untuk mentadbir, mengurus dan membangunkan Tanah Rezab Melayu.

“Penubuhan lembaga amanah ini bertepatan Perkara 98(5) Perlembagaan Persekutuan yang ia perlu menjamin pengekalan saiz dan keluasan Tanah Rezab Melayu,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.