Categories
SENI

Teater julang wibawa Ahmad Ibrahim dalam Tragedi Natrah

Oleh Haziq Fikri

Perbicaraan mahkamah kes Natrah atau Maria Huberdina Hertogh pernah menggegarkan tanah air suatu ketika dahulu. Betapa tidak, ia berlanjutan dari kandang mahkamah ke rusuhan berdarah.

Kebanyakan dokumen sejarah banyak menyentuh perihal Natrah, ibu angkatnya, Che Aminah; suaminya, Mansur Adabi dan pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) termasuk Dr Burhanuddin Helmy.

Jadi, siapa Ahamd Ibrahim? Mengapa mahasiswa kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mementaskan teater Tribute Mock Trial Of Ahmad Ibrahim?

Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim sebenarnya antara individu terpenting sebalik lambakan nama besar dalam tragedi itu. Beliau peguam dalam kes perebutan Natrah.

Lahir pada 15 Mei 1916 di Singapura dari keluarga yang menitik berat soal Islam. Pernah menjadi Majistret Singapura pada 1946,

ATT_1414430713151_image

Hakim dan Majistret (1955), Pendakwaraya Singapura yang pertama (1959) dan Peguam Negara Singapura yang pertama (1966). Pada 1969, beliau terjun ke dunia akademik sebagai Profesor Pengajian Undang-undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaysia (UM).

Juga pernah menjadi Dekan Fakulti Undang-undang UM, Pemangku Naib Canselor UM (1974) dan Dekan Kuliah Undang-undang UIAM.

Ironi, peranan Ahmad Ibrahim selama ini kurang mendapat perhatian sekalipun beliau pemain utama kes itu.

Namun, pementasan teater itu menghidupkan kembali semangat perjuangan Ahmad Ibrahim melalui Mock Trial atau Perbicaraan Olok-olok.

Pementasan hampir tiga jam itu memaparkan perjalanan hidup dan perjuangan Ahmad Ibrahim melawan kuasa perundangan sivil.

ATT_1414430704088_image

Dan sekalipun susur galur perbicaraan itu rumit, pementasan teater itu memudahkan pemahaman penonton melalui elemen muzik, tarian dan penataan cahaya.

Mulanya, penonton dibawa ke kehidupan kanak-kanak hingga ke usia remaja yang penuh ceria. Sesuai dengan teater muzikal, watak menyanyi dan menari menggambarkan Ahmad Ibrahim ketika itu.

Watak itu kian berkembang apabila usia menginjak remaja, lebih-lebih lagi apabila tragedi Natrah mula diselit di pertengahan babak.

Penonton bertepuk apabila Putra Haziq Mohamed yang memegang watak Ahmad Ibrahim membaca fasal undang-undang yang memenangkan kes Natrah.

Suasana jadi sepi pada babak pilu konflik perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Ahmad Ibrahim kemudian menang kes dan Natrah dikembalikan ke pangkuan Che Aminah.

Keceriaan penonton kian terpapar pada babak tarian romantis Natrah lakonan Natasyha Aliyya bersama watak Mansor Adabi selepas mereka nikah gantung di Singapura.

Namun, Natrah yang ketika itu berusia 13 tahun dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya berikutan Singapura mengguna pakai Undang-Undang Belanda yang menghalang perkahwinan bawah 16 tahun.

Ia menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura hingga tercetus rusuhan agama, malah kegelisahan dan kemarahan itu turut terpancar di wajah penonton.

ATT_1414430701821_image

Sepanjang teater itu, kekuatan skrip memberi kesan kepada penonton menyelami watak dan latar kisah, bahkan memahami situasi sebenar tragedi itu.

Monolog watak pula memberi kesan penonton untuk merasai kepedihan hati Ahmad Ibrahim saat mengenang semula tragedi itu.

Watak Ahmad Ibrahim juga dikembangkan melalui dialog tiga rakan sekerja yang berbual mengenainya. Beliau dianggap seorang yang fokus pada kerjayanya dan langsung tidak pernah mengambil cuti sakit alaupun sehari.

Pementasan itu diakhiri dengan Ahmad Ibrahim yang dianggap bapa perundangan negara, menghembuskan nafas terakhir pada 17 April 1999.

Sekalipun kes itu tidak dimenangi Ahmad Ibrahim, pementasan arahan M Aimanuddin Aiman membabitkan 146 pelakon itu benar-benar menonjolkan kesungguhan peguam itu dalam membela Natrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.