Categories
SELANGOR

600 pelajar 10 DUN terima bantuan persekolahan

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 600 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi pemberian boucer bernilai RM100 setiap seorang.

Yang Dipertua Pekawanis, Shamshida Taharin, berkata program itu bertujuan meringankan beban keluarga miskin membuat persediaan ke sekolah.

Pekawanis“Ia membantu ibu bapa dalam mengurangkan kos perbelanjaan bagi penyediaan uniform anak mereka bagi sesi persekolahan.

“Semoga 2015, menjadi tahun lebih cemerlang untuk semua pelajar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Megawati, Seksyen 7, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafie dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Program kali ini melibatkan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya DUN Seri Muda, Pelabuhan Klang, Bukit Lanjan dan Taman Medan serta Parlimen Gombak dan Kuala Langat yang mana setiap satunya disertai 50 pelajar.

PekawanisManakala baki wilayah lain akan diadakan secara berasingan di DUN dan Parlimen masing-masing dalam masa terdekat.

Selain acara penyampaian sumbangan, pelajar-pelajar juga diceriakan dengan pelbagai acara pentas termasuk kehadiran watak popular Upin dan Ipin yang hadir membuat persembahan.

Untuk program ini, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selaku rakan penaja menyumbangkan RM100,000.

Manakala Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan Kumpulan Perangsang Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM50,000.

Selain itu, Gedung Textile, Jakel Trading Sdn. Bhd juga mengambil bahagian dengan menaja kasut sekolah kepada semua peserta dalam program ini.

Bagi cenderamata kepada peserta, Danalis Distributors Sdn Bhd dan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd menyumbangkan buku bacaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.