Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis peruntuk RM196,000 agih sumbangan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 29 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM196,000 kepada 49 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Yang Dipertua Datin Seri Masdiana Muhammad berkata setiap DUN mengagihkan sumbangan wang tunai RM100 kepada 30 individu sementara selebihnya untuk penganjuran program atau pembelian keperluan asas kepada penerima.

“Individu yang menerima bantuan terdiri daripada golongan ibu tunggal, warga emas dan kurang berkemampuan (B40).

“Setakat ini, agihan sudah bermula sejak minggu lalu dan dijangka selesai penghujung bulan ini. Antara DUN yang menerima sumbangan ialah Sungai Tua, Lembah Jaya dan Gombak Setia,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama Masdiana berharap sumbangan diagihkan itu dapat meringankan beban penerima terutama mereka yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina.

Tahun lalu, Pekawanis giat menganjurkan pelbagai program antaranya penyerahan alatan pembelajaran kepada taska anak petugas hadapan Selangor sekitar November tahun lalu dan tadabbur al-Quran.

Pertubuhan itu turut menambah baik organisasi dengan mewujudkan lima biro bagi menggalakkan penglibatan ahli membabitkan perayaan dan kebudayaan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar, pendidikan dan kerohanian, sukan dan rekreasi serta media.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir syukur ramai individu prihatin, bantu bersih kediaman

SHAH ALAM, 27 DIS : Mangsa banjir bersyukur ramai individu sudi datang membersihkan kediaman selepas teruk dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

Maznah Mahamud, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Maznah Mahamud, 37, berkata jika mengharapkan tenaganya dan suami, sudah tentu kerja pembersihan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Anak saya empat orang tetapi semua masih kecil, yang sulung 16 tahun dan bongsu tiga tahun. Apabila adanya bantuan daripada pihak luar lega sangat.

“Terima kasih sukarelawan Pekawanis (Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor), Team Selangor dan yang lain-lain sudi datang rumah kami hari ini,” katanya.

Mengulas bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Selangor, Maznah berterima kasih dan berhasrat mahu membeli peti ais menggunakan wang tersebut.

“Peti ais penting sangat, yang sebelum ini sudah rosak tenggelam banjir. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Siti Saidah M Sarvani, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala, Siti Saidah M Sarvani, 43, turut menghargai dengan bantuan RM1,000 itu yang disifatkan dapat membantu menampung perbelanjaan pasca banjir.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang datang bantu bersihkan rumah kami hari ini. Banyak bantuan tidak putus-putus kami terima selepas ditimpa musibah ini,” katanya.

Semalam Pekawanis, Team Selangor dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam turun padang membersihkan enam buah rumah di Kampung Lombong di sini.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Team Selangor edar lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Team Selangor mengagihkan lebih 2,500 bakul makanan kepada penduduk negeri ini yang terjejas banjir setakat hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata lebih 400 anggota sukarelawan digerakkan bagi menyedia dan mengedarkan bantuan terbabit.

“Kita pecahkan kepada tiga pasukan hari ini untuk mengedarkan sumbangan termasuk membantu membersihkan kawasan rumah penduduk yang terjejas.

“Selain itu, kita turut membantu menyampaikan sumbangan daripada orang ramai kepada mangsa banjir antaranya kerusi roda, lampin pakai buang dan susu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam membabitkan pembersihan enam rumah di kampung terbabit.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis peruntuk lebih RM100,000 bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM107,500 bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata bantuan itu antaranya makanan asas, kain batik, kain pelikat, telekung, tuala wanita, lampin bayi dan susu.

“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa dalam meneruskan kehidupan selepas diuji sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Lombong di sini hari ini.

Program dengan kerjasama Team Selangor serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Shah Alam itu bagi membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kediaman di kampung terbabit.

Menurut Masdiana, program julung kali itu sekali gus menunjukkan rakyat Selangor prihatin dan cakna dengan nasib sesama mereka.

“Alhamdulillah saya tidak jangka ramai juga turun padang dan saling membantu bersihkan kediaman mangsa banjir. Kita akan teruskan lagi inisiatif ini di beberapa kawasan terjejas selepas ini,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sungai Ramal, Pekawanis bantu 20 pesakit kronik

SHAH ALAM, 8 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal bersama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) melawat 20 pesakit kronik menerusi program Ziarah Medik pada akhir Oktober lalu.

Mazwan Johar berkata semua pesakit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menerima bantuan wang tunai RM250 bagi membeli ubat dan keperluan diri.

“Pesakit yang dibantu ini biasanya menghidap penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, kanser dan terlantar sakit.

“Selain bantuan daripada Pekawanis, pejabat DUN juga menyumbang bakul makanan dan kit saringan kendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Mazwan, pihaknya bersama Pekawanis akan melawat 10 lagi pesakit dalam masa terdekat untuk diagihkan bantuan sekali gus meringankan beban.

Pekawanis memperuntukan sejumlah RM220,000 bagi membantu pesakit kronik di 44 DUN pada tahun ini di bawah program Ziarah Medik Pekawanis.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan iaitu setiap pesakit diberi RM250 untuk membeli ubat dan barangan keperluan harian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis belanja RM100,000 bantu pesakit kronik beli ubat

SHAH ALAM, 8 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) membelanjakan RM100,000 setakat ini bagi membantu pesakit kronik membeli ubat menerusi program Ziarah Medik.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata daripada jumlah itu sebanyak 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen selesai melakukan serahan.

“Manakala, baki tinggal lagi hanya 26 DUN termasuk Parlimen yang akan selesaikan sesi serahan sebelum hujung November ini.

“Kita harap sumbangan itu sedikit sebanyak membantu pesakit untuk membeli ubatan dan barangan keperluan asas,” katanya.

Menurutnya, DUN yang selesai mengagihkan sumbangan adalah Hulu Klang, Pelabuhan Klang, Bandar Utama, Gombak Setia, Lembah Jaya, Kuala Kubu Baru dan Kota Kemuning.

Selain itu, DUN Sungai Pelek, Sungai Kandis, Kota Anggerik, Balakong, Permatang, Taman Medan, Dengkil, Seri Kembangan, Kinrara dan Seri Setia.

Manakala, Parlimen yang selesai menyerahkan sumbangan tersebut ialah Kota Raja, Sungai Buloh dan Hulu Langat.

Sebelum ini, Pekawanis memperuntuk lebih RM150,000 untuk disalurkan kepada pesakit kronik di DUN dan Parlimen negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

20 pesakit kronik terima bantuan makanan tambahan kesihatan

SHAH ALAM, 4 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyumbang ubat dan makanan tambahan kesihatan kepada 20 pesakit kronik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Bantuan dikhususkan kepada penghidap buah pinggang, jantung dan kanser yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah (B40), kata ketua biro kesihatannya.

Lim Bee Eng menjelaskan sumbangan itu bagi meringankan penderitaan dan tekanan emosi dihadapi pesakit berikutan ada sebahagian mereka sudah lama terlantar di katil.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pekawanis akan terus membantu golongan tidak berkemampuan di semua kawasan di Selangor melalui kerjasama pimpinan masyarakat untuk mengesan golongan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah Pekawanis yang diterajui Datin Seri Masdiana Muhamad dan wakil rakyat kawasan terbabit turut menghulurkan bantuan kewangan RM100 kepada 30 ibu tunggal berbangsa India sempena Deepavali.

“Ada antara mereka yang baru sahaja kehilangan suami disebabkan wabak Covid-19. Anak-anak pula kehilangan ayah dengan tiba-tiba. Tentunya Deepavali ini tidak mudah bagi mereka,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor gerak 40 sukarelawan, program bersih pantai capai sasaran

TANJUNG SEPAT, 1 NOV: Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut semalam mencapai sasaran apabila berjaya mengutip 468.6 kilogram (kg) sampah.

Pegawai Komuniti Team Selangor Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat Muhd Aslah Azmi berkata seramai 40 sukarelawan pasukan itu terlibat dalam program kutipan sampah seperti pelitup muka, botol plastik, bungkusan makanan dan tayar.

“Biarpun hujan ketika program berlangsung semua yang terlibat tetap bertungkus lumus mengutip sampah di tepi pantai.

Pegawai Komuniti Team Selangor DUN Tanjung Sepat Muhd Aslah Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan peserta terlibat memuaskan iaitu lebih 150 individu termasuk sukarelawan Team Selangor,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Program Batik Plogging dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat, Team Selangor dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 23 Rahiman Harun.

Ia turut disertai Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad; Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Selain pembersihan pantai turut dianjurkan acara zumba, pertandingan pakaian terbaik dan konvoi motosikal besar.

Menerusi program ini, kumpulan orang kenamaan (VIP) diketuai Masdiana dinobat sebagai juara apabila berjaya mengutip sampah seberat 88.3kg, sementara kumpulan oren di tempat kedua iaitu 80kg manakala ketiga kumpulan kuning dengan kutipan 75.8kg.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis anjur program bersih pantai, pupuk kesedaran jaga alam sekitar

TANJUNG SEPAT, 31 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berharap orang ramai sentiasa menjaga kebersihan kawasan pantai supaya keindahan alam sekitar terpelihara.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata pihaknya mengadakan Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut di sini hari ini bagi memupuk kesedaran itu.

Menurut isteri Dato’ Menteri Besar itu, apabila memasuki fasa keempat, masyarakat mula berkunjung ke pantai dan mengakibatkan kawasan itu dipenuhi sampah.

“Oleh yang demikian Pekawanis mengambil usaha ini di samping beriadah kita dapat mengadakan aktiviti kutip sampah sekali gus mencantikkan pantai.

“Selain itu dapat mengetengahkan elemen pakaian tradisional batik kepada golongan muda kerana program ini berkonsepkan batik,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Ketibaan Masdiana pada jam 8 pagi itu disambut Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Selain pembersihan pantai, program merupakan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Sepat, Team Selangor, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 23 Rahiman Harun itu turut menganjurkan acara zumba, pertandingan pakaian terbaik dan konvoi motosikal besar.

Menerusi program ini, kumpulan orang kenamaan (VIP) yang diketuai Masdiana dinobat sebagai juara apabila berjaya mengutip sampah seberat 88.3 kilogram (kg), sementara kumpulan oren di tempat kedua iaitu 80kg manakala ketiga kumpulan kuning dengan kutipan 75.8kg.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis santuni petugas Media Selangor, sumbang kit kesihatan

SHAH ALAM, 12 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM7,500 untuk bantuan kit kesihatan kepada 30 petugas media Kerajaan Negeri, Media Selangor Sdn Bhd.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata kit itu mengandungi pelitup muka, oximeter, cecair pembasmi kuman, tuala, vitamin C dan pelindung muka.

“Kita selalu dengar petugas barisan hadapan terdiri dalam kalangan doktor dan polis tetapi kita tertinggal media juga antara golongan penting yang perlu dihargai.

“Terima kasih kepada kumpulan media dari Media Selangor yang sentiasa membuat liputan program Pekawanis dan pelbagai lagi untuk Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Penyerahan Kit Kesihatan Kepada Petugas Barisan Hadapan anjuran Pekawanis di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Pada masa sama Masdiana berharap petugas media sentiasa tidak putus memberi sokongan dan liputan berhubung program Pekawanis.

“Insya-Allah selepas ini jika ada keperluan kita akan menganjurkan lagi program menghargai seluruh petugas barisan hadapan di negeri ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis bantu 20 pesakit kronik beli ubat, keperluan harian

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 20 pesakit kronik di negeri ini menerima bantuan tunai RM250 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bagi membeli ubat dan keperluan diri.

Sumbangan melalui program Ziarah Medik membabitkan 43 Dewan Undangan Negeri dengan pemilihan peserta ditentukan ahli majlis dan ketua kampung, kata yang dipertuanya.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka terutama ketika pandemik Covid-19,” kata Datin Seri Masdiana Muhammad.

Beliau ditemui pada program Penyerahan Kit Kesihatan kepada Petugas Barisan Hadapan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar itu turut merancang untuk membantu keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan sempena sambutan Deepavali bulan depan.

“Insya-Allah kita bercadang untuk bantu 30 keluarga dengan setiap daripada mereka menerima tunai RM100 dan bakul makanan seperti kuih raya,” kata Masdiana.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pekawanis peruntuk RM220,000 bantu pesakit kronik beli ubat

SHAH ALAM, 24 OGOS : Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk sejumlah RM220,000 bagi membantu pesakit kronik di 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata inisiatif di bawah program Ziarah Medik Pekawanis bertujuan meringankan beban pesakit untuk membeli ubat-ubatan.

“Setiap daripada pesakit ini diberi RM250 untuk membeli ubat dan barangan keperluan harian. Golongan penerima layak akan ditentukan oleh ahli majlis dan ketua kampung.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar berkata Pekawanis juga sedang dalam perancangan untuk mengagihkan sumbangan kit kesihatan kepada petugas barisan hadapan pada masa akan datang.

“Kita sedang merancang program, insya-Allah nanti kita akan umumkan peralatan yang ada dalam kit itu,” katanya.