Categories
SELANGOR

ADUN: Cukuplah Timbalan Speaker yang ada

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 DIS: Timbalan Pesuruhjaya PAS I, Sallehen Mukhyi menyifatkan tiada keperluan bagi Kerajaan Negeri untuk melantik Timbalan Speaker II dari DAP bagi Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, jawatan Timbalan Speaker yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Mohd Shafie Ngah daripada PAS sudah cukup memadai dan efektif untuk membantu Speaker ketika sidang dewan.

dns“Cukuplah yang ada, keperluan Timbalan Speaker hanya waktu bersidang sahaja. Yang ada pun sudah cukup efektif, tak perlu seorang lagi,” katanya di sidang DNS, hari ini.

Sallehen (PAS-Sabak) turut berpandangan, peruntukan untuk membayar gaji Timbalan Speaker II itu lebih baik dimanfaatkan kepada rakyat, bahkan tiada perbincangan dibuat bersama DAP berhubung pelantikan baru jawatan berkenaan.

“Kita bukan nak sangat jawatan, perlu nisbah 4:4:4 sebab itu jawatan Timbalan Speaker diberikan kepada PAS. Cukup dengan keputusan yang dibuat Dato’Menteri Besar, kita nak berkhidmat kepada rakyat, bukan polemik terhadap jawatan.

“Jika layan, rakyat akan ingat kita gila jawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah lebih baik Kerajaan Negeri mengekalkan hanya satu jawatan Timbalan Speaker sahaja buat masa ini.

nik nazmiKatanya, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa negeri yang mempunyai dua Timbalan Speaker, namun beliau berpendapat sistem yang diamalkan di Selangor sudah cukup baik.

“Isu berkenaan tidak perlu timbul berikutan Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang mengenai perkara itu. Jika ada keperluan itu, saya rasa kita tidak perlu tukar sistem sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker turut menafikan Dato’ Menteri Besar pernah menjanjikan jawatan itu kepada DAP, sebaliknya dakwaan parti itu bahawa sokongan padu DAP ketika krisis Dato’Menteri Besar adalah berdasarkan prinsip Pakatan Rakyat (PR).

“Pada kita, daripada awal isu ini adalah soal prinsip sokongan tersebut. Waktu itu sokongan kepada PKR untuk kerusi Dato’ Menteri Besar datang daripada semua iaitu PAS dan DAP.

“Mungkin pada waktu itu isu soal calon, namun kerusi MB untuk PKR tidak pernah dibangkitkan sebelum ini. Saya tidak tahu yang selebihnya bagaimana,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.