Categories
SENI

CERPEN: Mencari mimpi

Oleh Hafiz Zainuddin

Pagi-pagi lagi dia sudah bangun sewaktu matahari masih bermalas-malas. Dia bangun dengan sepotong senyuman yang galak terukir tanda puas.

Kemudian, mengeliat. Kedua-dua tangannya diregang dan tubuhnya dilentik ke kiri, ke kanan, seperti seekor kucing yang tidur dengan perut menadah langit. Acap kali pun begitu.

Dia bangun tidur dengan senyuman kerana mimpinya sentiasa indah-indah. Kemudian, bangun dari tilam buruknya memulai hari menyantap sebatang rokok sambil membuka jendela kayu bilik.

Dari jendela, dia merenung laman kecil itu, memerhati orang lalu-lalang dan kawanan ayam yang takkan lupa mengais-ngais tanah; juga dengan senyuman. Begitu rutin paginya.

Malam tadi, dia bermimpi mendapat pekerjaan yang baik. Dia ditawarkan sebagai pegawai penyelia di sebuah syarikat multinasional yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kelmarin, dia bermimpi berjabat tangan dengan seorang menteri yang paling kacak dalam barisan kabinet.

Minggu lalu, dia bermimpi tidur di katil deluxe yang dipenuhi wang kertas seratus bertemankan beberapa wanita. Semuanya cantik-cantik, wajah mereka pula sesuai menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Sebab itu dia akan sentiasa tersenyum tiap kali bangun pagi. Mimpi indah itu cukup untuk hari ini, esok, akan datang lagi mimpi indah yang lain.

Hal ini jauh berbeza dengan teman-temannya yang sehendak boleh mahu tidur sampai tengah hari kerana tubuh mereka kehausan mimpi yang sempurna.

Dia berbangga tiap kali ditegur kawan-kawan. Kata mereka wajahnya sentiasa berseri dan menawan meski tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa memancing dan kadang kala secara sukarela membantu Makcik Susan basuh pinggan mangkuk di restoran.

“Umur sudah 35, bujang, menganggur pulak. Tapi kenapa selalu je kau nampak relaks, macam tak ada masalah. Kerja tak ada pun kau okay. Anak bini tak ada pun kau okay. Keluarga kau pun bukan orang senang, apa rahsia kau?” soal Lan, teman baiknya sejak sekolah.

Lan kuat bekerja. Selesai pejabat, dia mengajar tuisyen subjek bahasa Melayu. Tiap-tiap Ahad pula, dia, isteri dan dua anaknya turun pasar pagi jual produk kesihatan. Jadual hidupnya sentiasa penuh. Dia bekerja demi menampung kehidupan yang semakin menekan apalagi selepas berkuatkuasanya GST dan TPPA.

Gajinya besar, namun, keperluan untuk hidup dan masa depan terus bertambah, mencengkam leher. Dia terpaksa buat beberapa jenis kerja meskipun isterinya turut bekerja. Sesekali, dia berasa tuhan tidak berlaku adil kepadanya.

Wajahnya makin menua bukan kerana usianya sudah lanjut, tetapi akibat tekanan kerja dan tanggungjawab. Melihat temannya yang bahagia, dia hairan. Lebih-lebih pula temannya itu semakin tampak berseri, bertenaga dan bersemangat.

Mendengarkan soalan Lan, dia menghela nafas, merenung anak mata Lan hingga temannya itu berasa janggal dan pelik. Pada mata temannya itu sudah tergambar keluh kesah susah gelisah yang membelenggunya. Bahagia tidak pernah sampai dalam hidup Lan. Justeru, apa yang dikerjakan Lan nampaknya mempersenda kehidupannya sendiri. Begitu telahannya. Mungkin benar, mungkin tidak.

“Lan, aku tak ada rahsia, aku cuma mimpi. Bermimpi. Aku ada mimpi yang bagus.”

Lan membulatkan mata sambil mengerut dahi. Seperti dalam drama televisyen, dia membetulkan punggungnya di kerusi kayu restoran Makcik Susan. Menyalakan rokok, kemudian tangannya memegang dagu seperti sedang mengusap janggut.

images“Mimpi…?”

“Ya. Hampir tiap malam aku akan bermimpi yang bagus-bagus, indah-indah dan seronok-seronok. Jadi, mimpi itulah yang buat aku rasa semangat, ceria, happy macam sekarang.”

Lan mengangguk-angguk, dahinya berkerut, tangannya masih memegang dagu yang licin. Sesekali, dia menyapu kumisnya yang halus. Matanya terus mengecil memberi tumpuan pada temannya itu.

Dia mahu seperti temannya itu yang sentiasa tampak berseri dan ceria. Jauh dari masalah dan celaka yang tidak diketahui. Tidak seperti dirinya yang semakin terhimpit dan tertekan.

Lan tidak sempat bermimpi. Dia tiada mimpi indah. Jika ada, itu dulu, itu pun hanya mimpi yang ngeri-ngeri. Dia pernah bermimpi dibunuh perompak, dibakar hidup-hidup, bankrap, ditinggalkan isteri atau dikejar hantu.

Mimpi Lan mimpi buruk; dan menambah pilu, di luar mimpi dia berhadapan dengan realiti perit kehidupan. Isteri dan anak-anaknya terpaksa berkorban masa yang sepatutnya dipenuhi di rumah dengan kerja part time menjual produk penjagaan kesihatan setiap hari Ahad.

Mereka tidak pernah sekalipun ponteng berniaga sepanjang lima tahun disebabkan terlalu komited dengan kehidupan dan keperluan keluarganya. Perkara itu juga menyebabkan hubungan Lan dan sanak-saudaranya lain renggang. Lan suka cipta peluang, tambah keperluan.
“Kenapa kahwin adik kau tak datang Lan?”

“Pak cik kamu meninggal sampai hati tak ziarah…”

“Kamu mata duitan!”

Semua kata-kata ini begitu memakan rasa. Mereka semua tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan.

“Aku buat semua ini kerana janji kepada isteriku. Aku berjanji untuk menjaga mereka dan melengkapkan kehidupan mereka dengan segala yang terbaik. Aku buat semua ini sebab aku sayang.”

“Hmm Lan, kata-kata itu betul semuanya. Kau tak salah dan tak pernah salah dalam hal ini tapi jika nak jadi macam aku, kau perlu bermimpi.”

“Memang itu yang aku nak! Macam mana?” kata Lan bersemangat.

“Kau perlu kurangkan keperluan. Keperluan itu ciptaan kau dan iklan. Keperluan itulah yang sebenarnya memakan mimpi-mimpi kau yang sepatutnya. Mereka ciptakan mimpi baru untuk kau hingga buatkan kau jadi angau”

“Habis? Takkan kau nak sara anak isteri aku. Aku perlukan duit yang lebih tiap bulan untuk tampung belanja. Kau mana tau sebab kau tak pernah berkahwin dan ada anak. Kau tak ada tanggungan kereta, motor, rumah, wifi, telefon…”

“Lan! Kalau kau terus dengan sikap macam ni, aku minta maaf. Kau tak akan dapat mimpi macam aku. Kau takkan jadi macam aku. Sikit pun tidak”

“Takkan tak ada cara lain?” soal Lan dalam nada kecewa.

“Tak ada Lan, kalau kau mau bermimpi. Mimpi yang sempurna macam aku. Kau kena ikut cara aku, kalau kau tak mampu ikut, itu bukan masalah aku. Aku minta maaf.”

Lan tiada pilihan lain untuk dapatkan mimpi indah melainkan mengikut kata temannya itu. Namun, dia tak mampu. Dia mengetap bibirnya sambil tertunduk kemudian mengeluh panjang menoleh ke angkasa yang sudah samar-samar cerah.

Dia begitu cemburu dengan temannya itu yang hidupnya menghitung mimpi sempurna hampir setiap kali nyenyak, sedangkan dia terpaksa menghitung tunai dan waktu untuk dikerjakan.

Senja itu, Lan pulang rumah membawa sepotong kata hampa-kecewa kerana tidak mungkin mendapat kurnia seperti temannya itu. Mat, itu nama temannya yang sentiasa dihujani mimpi indah lagi sempurna.

Lan duduk di sofanya yang baru dibeli, memegang kepala, memicit-micit kepalanya. Seperti biasa, isterinya membawakan secangkir kopi.

“Kalah banyak ya?” soal isteri.

“Tak kalah, belum menang je…”

Tangan yang memicit-micit kepalanya itu dihala kepada secangkir kopi di depan meja. Dia menenung kopi legam itu sambil ditiup-tiup perlahan.

Satu teguk, dua teguk, tiga teguk.

“Ahh..”

Lan dapat idea! Idea itu semacam terpancut dari dalam kopi masuk ke mulutnya dan memberi syarat kepada bahagian otaknya yang paling dalam. Lan mengelamun sendiri berfikir untuk mencuri mimpi Mat.

Bermula hari itu, dia sudah ada mimpi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.