Categories
NASIONAL

Halang Anwar hadir, UIAM patut bersikap profesional

SHAH ALAM 4 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal campur tangan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memenuhi jemputan persatuan pelajar universiti itu berucap dalam majlis dilangsungkan esok.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata lebih mengejutkan, AMK dimaklum wujud campur tangan daripada Bukit Aman untuk memastikan halangan ini dikuatkuasakan.

Forum bersama Anwar di One World (3)Katanya, ini bukan halangan pertama dikenakan kepada Anwar sejak beliau dipecat daripada kerajaan.

“Ironinya, banyak universiti terbilang di peringkat antarabangsa, termasuk antaranya Universiti Oxford, Universiti Georgetown dan Universiti Stanford, bukan sahaja mengundang beliau berucap tetapi turut memberi ruang beliau menjadi tenaga pengajar jemputan di sana.

“Malah, Anwar kini dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa reformasi pendidikan di dunia Islam. Ini tidak termasuk undangan dan lantikan oleh pelbagai badan antarabangsa yang lain,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan media.

Beliau berkata undangan, jemputan dan pelantikan itu jelas merupakan satu bentuk penghormatan dan juga perakuan akan sumbangan, pengalaman dan ilmu dimilik Anwar.

“Halangan pentadbiran universiti, bukan sahaja di UIAM, menunjukkan ada di kalangan pentadbiran universiti membuat keputusan politik sempit dan tunduk kepada tekanan membuat keputusan mengikut garis parti,” katanya.

Nik Nazmi berkata, adalah malang jika pentadbiran universiti gagal menghayati semangat kebebasan akademik, dan mengiktiraf semua wakil rakyat, baik di peringkat Persekutuan atau negeri, dipilih majoriti di kawasan masing-masing, dan adalah sebahagian anggota badan legislatif.

“Pentadbiran UIAM digesa bersikap profesional dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam mempertahankan budaya ilmu dan mengangkat martabat universiti,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.