Categories
SENI

Kalung Oh Kalung

Oleh: Melati Rahim

Pementasan Kalung Oh Kalung bermula dengan kisah seorang lelaki bernama Amin yang membanting tulang bekerja sebagai seorang penjual surat khabar.

Namun, saban hari pelanggannya berkurangan akibat arus pemodenan media yang menyaksikan jualan akhbar terpaksa bersaing dengan media elektronik

Kehidupannya dihantui hutang piutang manakala isterinya, Akila pula digambarkan sebagai seorang yang kuat merungut.

kalong oh kalongAkila, seorang suri rumah yang memberi tekanan kepada Amin tentang kehidupan mereka, mengungkit kisah silam ketika percintaan sebelum bernikah.

Amin pula – bagi melepaskan diri daripada bebanan hutang, mendesak Akila memberikannya kalung pusaka tetapi isterinya berkeras tidak mahu.

Apatah lagi, Akila percaya kepada kisah pantang larang yang kononnya keluarga pemilik kalung mereka akan ditimpa musibah jika menjualnya.

Malah, Akila cuba meyakinkan Amin tentang kepercayaannya dengan memberi contoh peristiwa musibah apabila kalung itu hilang tetapi Amin menganggap cerita itu sebagai tahyul.

Kemuncaknya, kalung itu benar-benar hilang. Akila menuduh Amin mencurinya, manakala Amin menuduh Akila mencari alasan untuk tidak menyerahkan kalung kepadanya.

Dalam perbalahan itu, Akila diserang sakit jantung – seolah-olah mengesahkan kehilangan kalung itu membawa petaka kepada pemiliknya.

Sebenarnya, Akila sudah lama mengidap sakit itu akibat tekanan kehidupan – langsung tiada kena mengena dengan pantang larang itu.

Malah, ramai tidak sedar, kehilangan itu terjadi selepas adik Akila – Kiki – yang menumpang rumah mereka, mahu menginap di tempat lain tetapi ia tidak pernah menjadi perdebatan suami isteri itu.

Teater Kalung Oh Kalung yang dibawa Rumah Anak Teater itu nyata mengangkat isu konflik rumah tangga, masalah tabu dan kehidupan yang dipengaruhi peredaran zaman

Berdasarkan pemerhatian, pelakon yang memegang watak Amin ada masalah lontaran suara. Setiap kali muzik dimainkan, suaranya seakan-akan tenggelam.

Ini menyukarkan penonton sukar untuk memahami bait kata-katanya ketika memberi tumpuan penuh kepada pementasan itu.

Ia berlawanan pula dengan pelakon utama wanita, Akila yang lontaran suara yang jelas, malah lakonannya hidup.

Pengakhiran teater itu juga di luar jangkaan – konflik bertemu konflik. Yang disangka penyelesaian masalah itu juga sebenarnya sebuah konflik – realiti kehidupan di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.