Categories
SELANGOR

MB: Jamin amal pembangunan berkualiti, kekayaan negeri diagih saksama

Oleh: NAEEM RAFFI

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Selangor memberi jaminan mengamalkan pembangunan berteraskan usaha menjana pertumbuhan berkualiti dan keadilan dalam pengagihan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata menerusi falsafah pembangunan itu, kekayaan negeri diagihkan dengan saksama dan tidak tertumpu kepada kelompok kaya sahaja.

Penganugerahan darjah kebesaran Sultan MB (13)“Dengan dukungan Ahli Dewan Negeri Selangor, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru –baru ini meluluskan Belanjawan sejumlah RM2.4 bilion untuk 2015.

“Belanjawan 2015 mempamerkan pendekatan fiskal baru dengan memberi penekanan terhadap belanja pembangunan ditingkatkan kepada 47 peratus berbanding belanja mengurus yang diturunkan kepada 53 peratus sahaja,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika memberi ucapan sempena Hari Keputeraan ke-69 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Beliau berkata pentadbirannnya bertekad untuk terus memelihara kelangsungan dan kesuburan budaya Melayu dengan segala kepelbagaiannya.

Untuk tujuan itu, Mohamed Azmin berjanji, pentadbirannya melipat gandakan usaha merancakkan kegiatan kebudayaan dengan mengupayakan dimensi manusiawi dalam pembangunan.

“Kepelbagaian agama bukan bertujuan menimbulkan konflik atau prasangka tetapi kepelbagaian itu dijadikan satu kekuatan.

“Justeru itu, pentadbiran patik menjamin keharmonian rakyat Tuanku dipelihara supaya tidak berlaku kekacauan dan konflik dalam masyarakat yang rencam,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.