Categories
SELANGOR

MB: Ketua kampung perlu berperanan seiring teknologi terkini

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 DIS: Peranan ketua kampung sangat penting sebagai wakil kerajaan dalam menyampaikan maklumat berkenaan dasar yang dilaksanakan walaupun pendekatan yang digunakan kini berbeza mengikut peredaran zaman.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, cabaran dan permintaan juga sudah berbeza dalam memastikan keharmonian kehidupan masyarakat.

Katanya, kecanggihan teknologi seperti penggunaan telefon pintar dan internet membawa ketua kampung untuk turut sama menjadi sebahagian daripadanya, sekali gus memudahkan tugas mereka kepada masyarakat.

kg 2“Cabaran ketua kampung kini jauh lebih besar berbanding dahulu. Definisi kampung sekarang tidak sama dengan 10 atau 20 tahun dulu.

“Harapan dan permintaan juga berbeza khususnya anak mereka yang mendapat pendidikan sama ada dari dalam dan luar negara

“Apabila pulang, sudah tentu permintaan mereka berbeza selari dan senada dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata, denyutan nadi rakyat dapat dirasakan dengan lebih dekat, sekali gus mampu mencari penyelesaian masalah yang sesuai di samping mengekalkan identiti kampung tradisi hasil daripada teknologi kini.

kg 3Dalam ucapan sama, Mohamed Azmin yang menjadi Dato’ Menteri Besar sejak 88 hari lalu turut menyentuh soal pembangunan infrastruktur dengan pertambahan peruntukan hampir 300 peratus bagi tahun 2015.

Antara aspek yang disentuh adalah berkenaan keadaan balai raya yang usang dan perlu dibaiki, keadaan jalan yang perlu diturap semula dan soal kebersihan kawasan persekitaran.

Selain itu, beliau turut menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Kerajaan Negeri supaya menurunkan sebahagian peruntukan kepada ketua kampung bagi membantu mereka melaksanakan program membantu rakyat.

Pada majlis sama, Mohamed Azmin turut menyerahkan sijil penghargaan perkhidmatan kepada sembilan ketua kampung dari seluruh daerah di Selangor yang bakal menamatkan perkhidmatan bagi sesi tahun 2014 hujung bulan ini.

Secara keseluruhan, Negeri Selangor mempunyai 368 orang ketua kampung.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.