Categories
SELANGOR

Pemantauan, taklimat berterusan jamin Islam terpelihara

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 19 DIS: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan sentiasa membanteras usaha penyelewengan ajaran Islam dan bertanggungjawab memelihara agama dan umat Islam dari terus terpesong akidahnya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sehubungan itu JAIS secara konsisten akan mengadakan taklimat khas dan dialog dari semasa ke semasa bersama semua pengamal tarekat berhubung garis panduan tarekat.

Katanya, ia diwujudkan Jabatan Mufti Selangor sebagai panduan umum dalam mengekang perkembangan fahaman atau ajaran yang boleh menyeleweng dari Islam sebenar.

maal“Kepentingan penganjuran simposium ini bagi memastikan pengamal tarekat tidak menyalahgunakan nama atau silsilah tarekat yang diiktiraf atau membina jaringan silsilah sendiri tanpa asas sehingga mengakibatkan penyelewengan dan unsur bidaah sesat serta khurafat.

“Oleh kerana itu, penting bagi kita umat Islam mengukuhkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan dan hanya dengan iman serta taqwa kepada Allah sahaja mampu menjadi benteng dari sebarang bentuk penyelewengan akidah, syariah serta akhlak,” katanya.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Simposium Tarekat Tasawuf Negeri Selangor 2014 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), di sini, semalam.

yunusHadir sama, Pengarah Jais, Datuk Zaharin Mohd Saad; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, penganjuran simposium itu adalah insiatif Kerajaan Negeri, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, KUIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tabung Pembangunan Islam Negeri Selangor (TAPIS) supaya dijadikan panduan keilmuan kepada masyarakat Islam memahami secara tepat selok belok persoalan berkaitan akidah, tasawuf dan tarekat.

“Kerajaan Negeri dan JAIS sama sekali tidak memusuhi dan melarang umat islam mengikuti tarekat untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi tidak melampau sehingga taksub, meninggalkan perkara syariat dan memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Zaharin dalam ucapannya berkata, JAIS sentiasa mendapat aduan berkenaan penyelewengan amalan tarekat di Selangor.

Katanya, antara punca penyelewengan adalah disebabkan ketua kumpulan atau dikenali Syeikh tarekat membawa fahaman dan ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.

“Ia seperti mendakwa diri mereka sebagai wali, akhlak yang tidak sopan, taksub yang melampau, memberi pengorbanan berbentuk wang untuk mendapat keberkatan daripada guru dan juga mendakwa tarekat dibawa mempunyai silsilah terus kepada Rasulullah SAW.

“Turut mendakwa mendapatnya melalui mimpi dan pelbagai lagi penyelewengan yang hanya mementingkan pihak tertentu sehingga memberi keyakinan kepada individu yang ingin mengikuti amalan tarekat berkenaan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.