Categories
SELANGOR

PPRNS: Harap perbincangan dengan Kerajaan Negeri berhasil

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 DIS: Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) berharap masalah dihadapi golongan penternak di negeri itu dapat diselesaikan segera berikutan kesediaan Kerajaan Negeri berbincang mengenainya.

Pengerusi, Samad Kassim, berkata persatuan itu turut mengharapkan pertemuan antara kedua-dua pihak dapat diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, PPRNS sudah mengutus surat kepada pejabat Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini bersama beberapa cadangan untuk dipertimbangkan Kerajaan Negeri.

“Kita berharap mendapat maklum balas positif daripada Kerajaan Negeri berhubung perkara ini.

“Kesediaan Dato’ Menteri Besar membantu PPRNS, kita alu-alukan dan semoga masalah dihadapi sekian lama dapat diselesaikan segera selain membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri sedia membantu penternak haiwan ruminan di negeri itu dengan penyediaan tapak sesuai seandainya pihak terbabit bersetuju mencari penyelesaian bersama.

Katanya, Kerajaan Negeri prihatin dengan nasib golongan itu dan tidak akan meminggirkan mereka dalam arus pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri bersedia untuk menyiapkan tapak yang sesuai untuk penternakan bagi membantu golongan penternak di Selangor.

“Cuma kita mahu mendapat persefahaman di antara kedua-dua pihak (Kerajan Negeri dan penternak). Sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dan kita tiada masalah untuk membantu,” katanya.

Lebih 1,300 penternak haiwan ruminan (lembu, kerbau dan kambing) yang dihimpit pembangunan dan masalah tanah terhad di Selangor dengan sebilangan daripada mereka sudah gulung tikar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.