Categories
NASIONAL

QZ8501: Usaha mencari dan menyelamat giat dilaksanakan

JAKARTA 28 DIS: Kementerian Pengangkutan Indonesia telah memulakan usaha mencari dan menyelamat pesawat AirAsia yang dilaporkan hilang sejak pagi Ahad.

Pegawainya, Hadi Mustofa memberitahu MetroTV Indonesia, pesawat yang membawa seramai 162 penumpang terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas selama 42 minit dari lapangan terbang Surabaya.

air asiaPesawat itu dilaporkan berlepas pada pukul 5.35 pagi (waktu Indonesia) iaitu 6.35 pagi waktu Malaysia.

Menurut Mustofa, nasib seramai 155 penumpang dan tujuh anak kapal masih belum diketahui sehingga ini.

Pesawat itu berlepas daripada Surabaya pada 5.20 pagi waktu tempatan pada Ahad dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 8.30 pagi.

Ia dilaporkan putus hubungan dengan menara kawalan ketika pesawat itu berada di antara Kalimantan dan Kepulauan Belitung.

Pesawat AirAsia, QZ8501 yang dilaporkan hilang telah diminta membelok beberapa darjah sebelum gagal dihubungi menara kawalan.

Agensi berita yang memetik pegawai Kementerian Pengangkutan Indonesia, Hadi Mustofa berkata, pesawat tersebut telah diminta membelok beberapa darjah dari laluan asal Surabaya ke Singapura sebelum hilang.

“Ia telah mengambil laluan yang sedikit berbeza. Juruterbang juga diminta untuk meningkatkan ketinggian dari 3,200 kepada 3,400 kaki,” katanya.

Bagaimanapun Hadi memberitahu, perubahan tersebut merupakan perkara biasa dan penerbangan berkenaan dipercayai masih di rantau Indonesia.

“Ia mungkin masih berada di Indonesia,” katanya sambil mendakwa situasi cuaca buruk dan faktor lain mungkin menjadi penyebab pesawat gagal dihubungi.

 

White House menyatakan ia sedang memantau situasi kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Jurucakap White House, Eric Schultz berkata Presiden Barack Obama sudah diberi taklimat mengenai perkara itu.

Pesawat dan kapal laut milik tentera Singapura bersiap sedia untuk membantu pencarian pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang di perairan Bangka Belitung, hari ini.

Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen dalam laman Facebooknya melaporkan bahawa pihaknya menyiapkan pesawat Hercules C130 dan kapal milik angkatan tentera laut untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya beliau juga sudah memaklumkan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam laman Facebooknya juga memaklumkan persiapan untuk membantu pihak berkuasa Indonesia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.