Categories
SELANGOR

Shamsudin hilang jawatan Ketua Pembangkang jika tolak jawatan PAC

Oleh :NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 4 NOV: Disebalik gesaan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Shamsudin Lias mahu Ketua Umum PKR melepaskan jawatan Penasihat Ekonomi, dirinya berdepan dengan tuntutan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang sekiranya menolak pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC).

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata tiada alasan konkrit untuk Shamsudin menolak pelantikan itu memandangkan Peraturan Tetap 68(1) (Pindaan) yang diluluskan hari ini menuntut beliau mengetuai jawatankuasa berkenaan.

shamsudin lias 3“Ketua pembangkang harus mengetuai jawatankuasa itu kerana ia ditetapkan sebagai peraturan. Jika tolak, beliau perlu meletak jawatan sebagai ketua pembangkang.

“Beliau juga tidak boleh terima kemudahan yang disediakan kepadanya sebagai Ketua Pembangkang tanpa menjalankan tugasnya,” kata Hannah pada sidang media di lobi Bangunan Annex, di Shah Alam, hari ini.

DUN Selangor hari ini memutuskan ADUN dilantik mengetuai anggota PAC, bersama seorang lagi wakil BN, dan lima lagi anggota yang terdiri daripada kalangan Adun Pakatan Rakyat (PR).

Turut bersama Shamsudin dalam jawatankuasa itu adalah Adun Sekinchan (DAP), Ng Suee Lim, Adun Kajang (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Adun Batu Tiga (PKR) Rodziah Ismail, Adun Balakong (DAP) Ng Tien Chee, dan Adun Meru (PAS) Dr Abd Rani Othman, serta Adun Jeram (BN) Datuk Amiruddin Setro.

DUN Selangor mempunyai 10 jawatankuasa pilihan dengan setiap satu daripadanya terdiri daripada tujuh ahli merangkumi keanggotan daripada parti dari BN dan PR.

Sementara itu, Shamsudin dalam satu sidang media di pejabatnya menyatakan hasrat untuk menolak pelantikan itu atas alasan pelantikan anggota PAC yang dilantik tidak seimbang.

“Jika majoriti anggota diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang, saya terima.

“Atas dasar prinsip itu, saya menolak, walaupun Dewan memutuskan.” katanya sambil memberi tahu pihaknya akan menghantar surat penolakan pelantikan itu kepada Yeoh dalam masa terdekat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.