Categories
SELANGOR

18 nelayan Kg Kelanang terima bantuan tambah pendapatan

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LANGAT, 21 JAN : Seramai 18 nelayan di Kampung Kelanang, di sini menerima bantuan berupa peralatan serta kelengkapan menangkap ikan sumbangan Kerajaan Selangor sebagai usaha meningkatkan hasil pendapatan sekaligus membasmi kemiskinan.

Setiap nelayan diberikan peralatan secara percuma termasuk sampan dan enjin sangkut berbeza kapasiti yang diserahkan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

YB Zaidy sampaikan sumbangan bot dan enjin kepada nelayan (7)Zaidy ketika ditemui pemberita, berkata sejumlah RM869,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk membantu para nelayan yang mempunyai jasa besar kepada sektor perikanan dan industri makanan di Selangor.

Beliau berkata kebanyakan nelayan yang menerima bantuan berkenaan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang memerlukan suntikan peralatan untuk meraih pendapatan.

“Dalam tempoh tahun ini seramai 37 orang nelayan dibantu menerusi penyerahan bantuan peralatan iaitu di daerah Sabak Bernam dan Kuala Langat.

“Sasaran Kerajaan Negeri sekarang adalah untuk melihat semula jumlah nelayan berpendapatan rendah yang berdaftar di Selangor bersama Jabatan Perikanan supaya perhatian khusus dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Nelayan di Pengkalan Nelayan Kampung Kelanang, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Dalam pada itu, Zaidy yang juga Adun Taman Templer berkata Kerajaan Negeri akan memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi para nelayan seperti isu pukat tunda, gangguan daripada kapal besi dan sebagainya sehingga menjejaskan pendapatan mereka sejak sekian lama.

Katanya satu perjumpaan antara Kerajaan Negeri bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar Selangor juga akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit yang memerlukan perhatian Exco.

“Kita sendiri akan membuat perjumpaan pada awal Februari depan supaya satu unjuran berhubung pelbagai perkara terutama isu membabitkan nelayan dapat diselesaikan.

“Kita mahu bantu mereka dari segi peningkatan hasil dan segala perbincangan itu akan diselaraskan dalam mesyuarat Exco pada bulan depan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.