Categories
NASIONAL

AMK kutuk serangan bersenjata di Paris

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 JAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengutuk tindakan kumpulan bersenjata yang melakukan serangan ke atas majalah satira Perancis, Charlie Hebdo sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, serangan terbaru itu disifatkan sebagai tindakan keganasan bacul, apatah lagi tiada agama di dunia yang membenarkan perilaku sedemikian.

Katanya, semua pihak perlu mencontohi warisan pejuang kemerdekaan Algeria kurun ke-19, Amir Abdul Qadir al-Jazairi yang dihormati bukan sahaja di kalangan umat Islam, bahkan musuhnya di seluruh dunia kerana mempunyai akhlak yang baik.

paris“Itulah Islam sebenar yang mesti kita perjuangkan.

“Sebagaimana disebut Tariq Ramadan bahawa ia bertentangan dengan apa yang didakwa pembunuh di pejabat Charlie Hebdo kerana bukan maruah Rasulullah s.a.w. yang diperjuangkan, sebaliknya agama, nilai dan prinsip Islam yang dikhianati juga dicemari.

“Saya ingin menyuarakan simpati saya terhadap keluarga dan sahabat mangsa serta berharap golongan yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa juga tidak seharusnya ditakutkan dengan kebencian dan sikap fanatisme yang akan membawa kesan buruk terutama kepada agama Islam.

paris1Sekumpulan lelaki bersenjata dan bertutup kepala menyerbu pejabat sebuah majalah satira mingguan yang terkenal mempersendakan radikal Islam dengan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk dua anggota polis.

Charlie Hebdo (Mingguan Charlie) terkenal kerana mencetus kontroversi dengan mempersendakan pemimpin politik dan pemimpin agama serta menerbitkan banyak kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Laporan Reuters yang memetik sumber polis dan kerajaan Perancis menyebut, kejadian tersebut disyaki dilakukan kumpulan bersenjata Islam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.