Categories
SELANGOR

Caliph Buskers bakal muncul di Pesta Buku Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Pesta Buku Selangor 2015 membawa kelainan dengan menampilkan kumpulan Caliph Buskers pada acara itu yang berlangsung 29 Januari hingga 8 Febuari di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Kumpulan itu menarik perhatian ramai apabila keupayaan bakat mereka terserlah pada Anugerah Juara Lagu ke-29 dan memperolehi anugerah persembahan terbaik.

10858456_1534794790108680_5984572014667098402_nCaliph Buskers terdiri daripada enam anggota iaitu Fendy [24], Mohd Zaki Ismail [36], Nirwan Zainal Abidin [26], Khairul Azmi Saad [28], Nor Nadira Rubiana [24], Shahzmeen Abdul Rahman [24].

Istimewanya kumpulan Caliph Buskers ialah walaupun mereka adalah golongan kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, ternyata mereka dikurniakan anugerah dalam suara dan kepintaran mereka bermain alat muzik.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata pelbagai acara lain ditampilkan termasuk persembahan Star Wars, pertandingan Muay Thai, ceramah pakar motivasi terkenal, Dr Azizan Osman, Prof Muhaya dan Ustaz Don.

“Ikut rekod Pesta Buku Selangor 2014 seramai 300,000 hadir tetapi dengan adanya festival kebudayaan, fashion street, memperkenalkan pemain Pasukan Liga Super Selangor, Larian Selangor Plus, kita sasar 350,000 hingga 400,000 pengunjung,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Temasya 11 hari itu juga bakal menampilkan persembahan artis terkenal seperti Tomok, Faizal Tahir, Yasin, Fizo Omar, Pita Hati dan ramai lagi.

Temasya melibatkan lebih 80 pempamer itu turut mengundang penulis terkenal Indonesia, Leila S Chudori dan pelancaran buku oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara tahunan itu turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti Ipad, kamus elektrik dan lain-lain.

Selain SACC sebagai lokasi utama temasya, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Kompleks PKNS dan SACC Mall.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.