Categories
SENI

CERPEN: Penikam Bayang

Oleh Nadia Azam
TERKEBIL-KEBIL mata Batrisyia ketika duduk di sofa usangnya yang diletakkan betul-betul bertentangan dengan televisyen. Waktu hampir jam 3 pagi.

Siaran rangkaian tidak berbayar itu sudah tamat. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan Batrisyia kecuali berharap matanya tidak mendera dengan tetap terbuka.

Dia mencapai alat kawalan jauh dan menekan butang merah. Televisyen terpadam. Suasana ruang tamu rumah Batrisyia kelam dan sepi. Sesekali angin menolak dahan pokok yang tumbuh di sebelah rumahnya. Kesejukan kian terasa.

Sejak ibu bapanya hilang secara misteri, Batrisyia tinggal sendirian di banglo dua tingkat itu. Dia anak tunggal. Royalti bukunya memadai untuk kegunaan harian. Selebihnya, harta peninggalan bapa menampung keperluan lain.

Selepas bertahun-tahun, kehilangan ibu bapa Batrisyia kekal misteri. Sejak pulang belajar di Amerika Syarikat, Batrisyia menjadi penghuni tunggal di banglo berkenaan.

* * *
“Trisy! Kau buat apa? Cepat sikit, boleh? Nanti ada orang nampak, macam mana?” Malora semakin rimas dan cemas. Puas Batrisyia menyental permaidani di ruang tamu itu.

Dia hampir menerima kenyataan betapa kesan merah itu tidak akan hilang sepenuhnya walaupun dicuci dengan cecair peluntur. Mungkin dia tidak perlu bersusah-payah kalau Malora setuju membakarnya. Tetapi, Malora degil. Kata Malora, permaidani itu menyimpan ribuan kenangan.

Di samping Batrisyia, ada sebaldi kecil air kemerah-merahan bercampur debu yang berterbangan dibawa angin.

“Ayuh! Hari kian senja. Cepat kita ke hutan belakang sana,” desak Malora sambil bergegas menyarung kasutnya.

“Ya, ya. Aku tahu. Tapi kali ini, giliran kau pula menanam. Aku penat menyental,” balas Batrisyia, mempercepat langkah takut tertinggal.

Malora memalingkan muka ke belakang. Langkahnya terhenti seketika. Direnung tajam wajah Batrisyia. Cuma, wajah itu nampak lebih garang dan menyimpan pelbagai misteri.

Malora memang ayu. Seayu Batrisyia. Bezanya cuma terlihat apabila Malora membuka mulut dan menggerak-gerakkan lidahnya. Amat jarang kata-kata Malora berlalu tanpa menyakitkan hati. Suaranya melengking dan ungkapannya tidak pernah ditapis.

* * *

“Dia memang patut mati. Hidupnya langsung tak membawa makna.”

Malora mengusap rambutnya sambil memandang Batrisyia yang terpaku di depan cermin. Bibir Malora mengukir senyum. Sinis lagi mengejek. Dia mendekati Batrisyia yang menunduk mencari kata-kata.

“Lora, aku…”

“Kau ada hati dengan Aisha kan? Huh! Aku dah agak!”

“Tak patut betul kau paksa aku bunuh Aisha. Dia tak buat apa yang orang lain selalu buat pada aku. Dia terima aku seadanya.”

“Kau hilang akal, Trisy? Takkan ada manusia sanggup terima kau? Kau bukan manusia biasa.”

“Diam, Lora!”

“Aku boleh diam tetapi hakikat tetap hakikat. Tak ada sesiapa di dunia ini boleh terima kau macam aku terima kau. Akuilah hanya aku tempat kau bergantung. Tanpa aku, kau tak wujud.”

Kemarahan Batrisyia tidak dapat dibendung lagi. Sudah lama dia bersabar. Malora tidak pernah jemu menghinanya. Dia akui Malora sebahagian daripada dirinya.

Namun, persahabatan itu dirasakan Batrisyia seakan-akan semakin menyakitkan. Menyeksakan. Dan air matanya banyak tumpah. Keadaan menjadi lebih rapuh apabila Malora asyik mengugutnya membocorkan rahsia Batrisyia. Rahsia yang selama ini dijaga rapi.

Sekarang dia perlu memilih – persahabatan atau rahsianya. Masalahnya, Batrisyia sudah jemu membunuh tetapi isu yang didepaninya itu berbeza.

Dia diugut oleh sahabat yang paling dipercayai. Batrisyia perlu membuat keputusan segera. Atau jika tidak, samalah seperti membiarkan racun menjalar ke seluruh tubuh.

* * *

“Kita ke mana, Trisy?” soal Malora. Ada nada cemas pada suaranya. Malora cuak melihat kelakuan Batrisyia yang seakan-akan orang hilang waras.

“Tak payah banyak tanya. Kau ikut saja, nanti kau akan tahu.”

“Kau nak bawa aku bersiar-siar, kan?”

Batrisyia sebaliknya memalingkan muka bagi menyembunyikan gemuruhnya. Dia tidak mahu Malora tahu niatnya. Jika Malora terhidu apa-apa, rancangannya akan total gagal.

Bunyi enjin kereta Morris Minor mini bergema di telinga Batrisyia ketika mereka meniggalkan banglo dua tingkat itu.

“Trisy, apa yang kau nak cakapkan pada aku, sebenarnya?”
Malora merenung tajam Batrisyia di sebelahnya. Dia menikmati keayuan wajah putih mulus itu.

“Aku nak tamatkan semuanya. Aku minta maaf tapi kau harus mati hari ini.”

Morris Minor itu semakin laju. Batrisyia menekan pedal minyak kian kuat. Enjinnya terdengar kian nyaring.

“Apa?”

“Maafkan aku, Lora. Hayat kau cuma di sini.”

“Trisy, kau dah gila?”

“Aku tak pasti siapa yang gila sekarang.”

Tiba-tiba, di tangan Malora terhunus sebilah pisau berkilat. Batrisyia panik. Perhatiannya kepada jalan raya terganggu. Dadanya bergetar kencang. Malora mengangkat tangannya bersedia menikam Batrisyia. Kereta meluncur laju menghampiri selekoh tajam.

Tangan Malora bersedia menghunjam pisau. Matanya mengecil memandang Batrisyia penuh kebencian.

“Kalau aku mati, kau juga harus mati, Trisy!”

Tangan kanan Malora menikam paha kiri Batrisyia. Batrisyia mengelak, namun tangannya yang memegang stereng bergerak bersama. Kereta mini itu meliar ke kiri ke kanan.

Hanya beberapa meter di depan, selekoh tajam menunggu. Paha kirinya terasa sakit mencucuk-cucuk. Darah mula meresap ke jeans lusuh Batrisyia.

Ketika menyedari keretanya bakal terbabas, sudah terlewat. Tidak banyak yang boleh dilakukan Batrisyia. Dia memulas stereng sekuat hati tetapi yang terpampang cuma belukar dan sebatang pokok kayu besar.

“Lora….”

Malora terkulai di sebelahnya. Tubuhnya tersepit di antara papan pemuka dan pokok kayu yang meremukkan pintu kiri kereta.

“Lora…”

* * *

Mata Batrisyia perlahan-lahan terbuka. Pandangannya kabur. Dia meraba dadanya yang sakit. Kepalanya juga. Batrisyia membengkok kaki. Tiba-tiba pergerakan kaki kirinya terhenti. Mukanya berkerut menahan sakit. Dia meraba kaki itu pula. Terasa lembab melekit pada jeans.

Batrisyia menarik tangan ke mukanya. Dia melihat jari tangan kirinya merah. Darah? Dia mendekatkan lagi ke hidung. Serta-merta deria baunya menangkap aroma hanyir. Darah!
Beberapa minit diperlukan untuk mencantumkan semula kepingan-kepingan ingatan. Detik menyental permaidani, memandu kereta dengan laju, selekoh tajam. Dia mula ingat Malora. Malora? Di mana Malora?

Dengan kesakitan dan kekaburan, Batrisyia bersusah-payah duduk sambil mengingat-ingat siapakah dirinya.

“Aku Batrisyia. Lahir pada 27 Mei 1983. Ibu bapaku sudah tiada. Dan aku sendirian di rumah terbiar ini.”

Di manakah Malora?

Jam 8 pagi. Batrisyia mengatur langkah ke bilik mandi. Kakinya melangkahi sebilah pisau di lantai. Sebelum sampai ke pintu, tangannya mencapai tuala kuning di tingkap. Sebaik saja berada di bilik mandi, Batrisyia melihat wajahnya di cermin. Sekarang baru dia teringat. Malora sudah mati.

Tiba-tiba, dari tepi katil Batrisyia terdengar suara seseorang memanggilnya dengan nada lembut dan manja.

“B-a-t-r-i-s-y-i-a….”

“Hai, er….”

“B-a-t-r-i-s-y-i-a…. Kenalkan, aku Rauna.”

“Oh, hai Rauna!”

Leave a Reply

Your email address will not be published.